SEGAMAT (Johor): Tindakan seorang lelaki membawa anjing peliharaannya ke sebuah restoran halal di Segamat Baru, baru-baru ini, mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial selepas video insiden itu tular di platform dalam talian.
Rakaman selama 24 saat yang dimuat naik oleh pengguna media sosial Mohd Razman Razak memaparkan seorang lelaki duduk di meja makan dalam premis berkenaan dengan seekor anjing baka Poodle berada di sebelahnya.
Perbuatan itu mendapat reaksi negatif daripada warga maya (netizen) yang menyifatkan tindakan lelaki berkenaan sebagai tidak sensitif terhadap sensitiviti masyarakat Islam, khususnya apabila melibatkan tempat makan halal.
Seorang pengguna, Mickey Kim, menegur lelaki tersebut di ruangan komen dan meminta agar lebih menghormati peraturan serta pelanggan restoran Muslim.
“Alamak, respect sikit la brother. Ini kedai mamak Muslim, tak boleh bawa anjing. Saya orang Cina pun tahu respect Muslim,” lapor Kosmo!.
Beliau turut menggesa individu yang merakam video itu untuk menasihati lelaki berkenaan supaya tidak dibenarkan makan di premis tersebut jika membawa haiwan peliharaan.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada pemilik restoran terbabit tidak berhasil apabila panggilan telefon tidak dijawab.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg