SEREMBAN: Pengurus sebuah restoran nasi kandar di Seremban didenda RM100,000 ($30,287) oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Mei atas tuduhan menyimpan barang kawalan berupa 1,241 kilogram (kg) minyak masak di premis tidak dilesenkan.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Das Jhonny Chandra, 38 tahun, selepas warga Bangladesh terbabit mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut tuduhan, dia didapati menyimpan barang kawalan iaitu 1,241 kg minyak masak di dalam tong-tong di premis yang tidak dilesenkan oleh pegawai bekalan untuk penyimpanan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 3.15 petang di sebuah asrama pekerja restoran berkenaan di Dataran Sentral Seremban, pada 26 April 2024, lapor Harian Metro.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Peguam bela, Encik Ashok Atimulan, dalam rayuannya memberitahu anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak selain perlu menanggung ibu bapa yang uzur di Bangladesh.
Menurutnya, tertuduh juga adalah pencari nafkah utama keluarganya dan menunjukkan rasa kesal serta insaf melalui pengakuan bersalah yang dapat menjimatkan masa mahkamah.
“Sejak awal serbuan, tertuduh memberi kerjasama dengan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup). Dia juga tiada sabitan lampau dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
“Saya merayu hukuman ringan dalam bentuk denda dan mohon pasport tertuduh dikembalikan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Cik Nor Alimah Mohd Sanusi, menyifatkan kesalahan tertuduh sebagai serius kerana minyak masak adalah barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyat.
Hakim Mohamad Kamil menjatuhi hukuman denda RM100,000 terhadap tertuduh dan turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg