Tunku Mahkota Ismail: Orang dalam patut bertanggungjawab, bukan jadikan saya kambing hitam
Tunku Mahkota Ismail: Orang dalam patut bertanggungjawab, bukan jadikan saya kambing hitam
KUALA LUMPUR: ‘Orang dalam’ sepatutnya bertanggungjawab, bukannya lepas tangan dan menggunakan pihak lain untuk menjadikan mereka sebagai kambing hitam dalam kes pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya, kata Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Tunku Mahkota Ismail meluahkan perkara itu menerusi ciapan di laman media sosial X dan turut mendakwa terdapat beberapa orang dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berpuas hati dengan beliau.
Beliau, yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), memaklumkan ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu memberi dana kepada pasukan kebangsaan selain mendakwa terdapat pihak yang membuat kempen sabotaj dengan menggunakan pelbagai naratif.
“Beberapa orang dalam FAM memang tak puas hati dengan saya dari dahulu kerana tak boleh buat duit. Ada beberapa yang datang minta saya tolong nak dapatkan projek, ada juga yang datang minta tolong tak disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan macam-macam.
“Tetapi ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu beri dana kepada pasukan kebangsaan. Ramai tak puas hati kerana ada yang tak terlibat. Jadi secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa orang media dan beberapa orang dalam media sosial. Untuk mula kempen sabotaj dan menggunakan pelbagai naratif.
“Kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) ialah kes pemalsuan, bukan kelayakan kerakyatan, tetapi pemalsuan serta penyerahan dokumen. Siapa yang membuat penyerahan dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tak menyerahkan dokumen yang sah daripada JPN? Kerana mahu melindungi orang dalam, pemain pula dipersalahkan.
“Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Tunku Mahkota Ismail juga mendakwa Fifa tidak boleh menjawab ketika ditanya mengenai bukti pemain terbabit atau bersubahat dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tunku Mahkota Ismail turut mendedahkan perkara itu berlaku ketika hujahan dalam pendengaran kes berkenaan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sebelum ini.
“Semasa hujahan dalam pendengaran CAS, pihak Fifa pun tak boleh jawab apabila ditanya mana bukti pemain terlibat atau bersubahat. Kenapa kes ini dilayan lain daripada kes CAS sebelum ini apabila pemain wanita mengaku bersalah membuat pemalsuan dan hanya dihukum 10 perlawanan untuk pasukan kebangsaan tetapi masih boleh bermain bersama kelab?,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, CAS dalam kenyataan pada 5 Mac menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado yang terbabit dalam kes ini.
Keputusan itu menyaksikan tindakan Fifa yang mengenakan denda CHF350,000 ($570,000) ke atas badan induk bola sepak negara itu serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit kekal.

