KUALA LUMPUR: Polis Malaysia setakat ini menerima 45 laporan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, dengan sembilan individu telah memberi kenyataan bagi membantu siasatan.
Antara yang dipanggil termasuk daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan penipuan.
“Setakat ini kita (polis) terima 45 laporan dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita juga sudah selesai rekod kenyataan sembilan individu,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 Januari, lapor laman web Astro Awani.
Sebelum ini, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.
Menurut FAM, tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka.
Dalam kenyataan sebelum ini, FAM turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 September 2025 mengesahkan bahawa dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan FAM kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak membabitkan sebarang unsur rasuah.
FAM dan tujuh pemain warisan membabitkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca telah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Fifa dalam kenyataannya memaklumkan bahawa FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi dan Fifa memberi tempoh selama 10 hari untuk membuat rayuan.
Pemain terbabit beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada Fifa berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib Fifa memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 ($570,000).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg