Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diplomasi budaya rentas sempadan: Perkukuh hubungan rakyat S’pura-M’sia

Oct 21, 2025 | 5:30 AM
Pertemuan pemimpin kedua-dua negara – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – seperti terakam di Istana pada 31 Mei lalu ini boleh memacu ke arah perkongsian yang saling menguntungkan.
Pertemuan pemimpin kedua-dua negara – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – seperti terakam di Istana pada 31 Mei lalu ini boleh memacu ke arah perkongsian yang saling menguntungkan. - Foto MDDI

Bulan lalu menandakan ulang tahun ke-60 satu peristiwa penting yang telah membentuk semula landskap politik dan ekonomi Asia Tenggara.

Pada 1 September 1965, Parlimen Malaysia meluluskan pindaan Perlembagaan yang membawa kepada pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia.

Ketika itu, perpisahan ini sering digambarkan sebagai kegagalan percubaan politik, dan hubungan dua hala dilihat melalui lensa persaingan antara dua “adik-beradik” serantau.

Namun selepas enam dekad, sudah tiba masanya naratif ini diperbaharui.

Kisah hubungan Malaysia-Singapura hari ini bukan lagi sekadar kisah perpisahan, malah satu perjalanan bersama yang dibentuk oleh kebergantungan strategik dan kerjasama mendalam.

Hubungan yang suatu ketika dahulu dicemari rasa curiga kini berkembang menjadi pakatan pelbagai dimensi yang menjadi tonggak kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.

Ketika kedua-dua negara memperingati ulang tahun jubli berlian ini, tumpuan harus beralih daripada persoalan bagaimana perpisahan diurus kepada bagaimana potensi bersama boleh dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran abad ke-21 yang semakin mencabar.

Asas hubungan kontemporari Malaysia dan Singapura terbina atas hubungan ekonomi yang saling bergantung.

Singapura secara konsisten muncul sebagai pelabur asing terbesar di Malaysia dan merupakan rakan dagang kedua terbesarnya.

Malaysia pula terus menjadi pembekal penting bagi air, produk pertanian dan, yang paling utama, modal insan.

Setiap hari, ratusan ribu rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor bukan sekadar untuk bekerja, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan satu zon ekonomi yang semakin bersepadu.

Hubungan ekonomi yang erat ini telah mewujudkan kepentingan bersama yang kukuh demi kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang.

Namun, untuk hanya menilai hubungan ini melalui perangkaan ekonomi semata-mata adalah tidak menyeluruh.

Hubungan antara rakyat Malaysia dengan Singapura diperkukuh oleh ikatan budaya, kekeluargaan, dan sejarah yang saling berjalin.

Kedua-dua negara berkongsi pertalian bahasa, makanan warisan, serta hubungan kekeluargaan yang melangkaui sempadan politik.

Jalinan sosial inilah yang sering menjadi penampan semula jadi ketika hubungan antara kerajaan mengalami ketegangan.

Meskipun berlaku perselisihan mengenai isu ruang udara, sempadan maritim, atau harga air, rakyat kedua-dua negara tetap meneruskan interaksi harian – bekerja, belajar, dan membina kehidupan merentasi sempadan.

Hubungan ini jauh melebihi hubungan rasmi antara dua pemerintah – ia adalah hubungan antara dua masyarakat yang saling menganggap satu sama lain sebagai sebahagian daripada keluarga besar.

Walau begitu, hubungan dua hala hari ini berada dalam satu tahap kematangan yang stabil, namun tidak bebas daripada cabaran.

Isu warisan seperti sempadan, laluan udara dan perjanjian bekalan air masih berpotensi mencetus ketegangan.

Selain itu, persaingan dalam sektor seperti teknologi kewangan, logistik dan pendidikan tinggi menjadi semakin ketara.

Kedua-dua negara berlumba menarik pelaburan, bakat, dan pengaruh sejagat.

Walaupun persaingan ini boleh memacu inovasi, ia juga berisiko menimbulkan pendekatan yang bersifat ‘menang-kalah’ (zero-sum) jika tidak diurus dengan bijak.

Memandangkan landskap sejagat kini sangat berbeza berbanding era 1960-an, pendekatan baru perlu diambil.

Krisis iklim, perubahan teknologi yang pesat, dan persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dengan China menjadikan pendekatan bersendirian tidak lagi berkesan.

Justeru, hubungan Malaysia-Singapura perlu berkembang menjadi satu bentuk kerjasama strategik yang lebih terancang, bersifat jangka panjang dan berorientasikan masa depan.

Untuk membina kerjasama lebih kukuh, beberapa langkah strategik boleh dipertimbangkan.

Langkah pertama yang boleh diambil adalah untuk menubuhkan kumpulan masa depan strategik dua hala.

Misalnya, sebuah kumpulan pemikir yang terdiri daripada penggubal dasar kanan, pemimpin industri dan akademik dari kedua-dua negara perlu diwujudkan untuk merangka kerjasama jangka panjang.

Tumpuan utama kumpulan ini adalah mengenal pasti dan melaksanakan projek mega bersama, seperti pembangunan grid tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan, kerangka tadbir urus kecerdasan buatan (AI) serantau, dan kerjasama dalam sektor semikonduktor.

Yang kedua adalah untuk meningkatkan perhubungan fizikal dan digital.

Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang sedang dibina merupakan satu langkah positif, tetapi perlu dilihat sebagai permulaan kepada visi yebih luas.

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) perlu dikaji semula bukan sahaja sebagai mod pengangkutan penumpang, bahkan juga sebagai koridor logistik yang berkesan.

Di samping itu, satu pakatan ekonomi digital Malaysia-Singapura boleh mewujudkan ekosistem aliran data, sistem pembayaran dan keselamatan siber yang bersatu dan dipercayai.

Ketiga, menangani cabaran rentas sempadan secara kolektif. Isu seperti jerebu merentas sempadan dan keselamatan makanan menuntut kerjasama lebih erat, termasuk melalui Asean.

Pelaburan bersama dalam pemulihan tanah gambut di Malaysia serta pembangunan pertanian mampan dan teknologi tinggi boleh memperkukuh daya tahan ekologi dan sekuriti makanan rantau ini.

Langkah yang keempat ialah untuk mengukuhkan pertukaran antara rakyat.

Salah satu aset paling penting kedua-dua negara ialah rakyat mereka.

Hubungan ini boleh diperkukuhkan melalui lebih banyak program pertukaran untuk pelajar cemerlang dan karyawan muda.

Selain itu, kerjasama dalam bentuk program ijazah berkembar, penyelidikan bersama dalam bidang strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, sains marin dan kesihatan awam akan mewujudkan jaringan kepakaran yang saling menguntungkan.

Pada 60 tahun lalu, perpisahan antara Malaysia dengan Singapura merupakan titik permulaan yang mencabar.

Hari ini, kita harus melihatnya sebagai permulaan kepada dua negara berdaulat yang berjaya dan kekal saling berkait secara unik.

Kedua-dua negara telah membina hubungan yang tahan uji, pragmatik dan memberi manfaat bersama.

Tugas enam dekad akan datang adalah untuk membina satu bentuk kerjasama yang benar-benar berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi.

Dengan memilih kerjasama strategik berstruktur, dan bukan sekadar pengurusan konflik jangka pendek, Malaysia dan Singapura boleh mentransformasikan hubungan dua hala ini menjadi kuasa pemacu inovasi, kestabilan, dan kemakmuran yang membawa manfaat bukan sahaja kepada warganegara mereka, bahkan kepada seluruh rantau Asean.

Perpisahan itu adalah sejarah; masa depan harus berlandaskan perkongsian saling menguntungkan.

Penulis ialah Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan dengan Solaris Strategis Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg