Kerjasama berbagi kerusi antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 membuahkan hasil apabila gabungan itu berjaya menamatkan penguasaan dua penggal Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

Dengan gabungan BN-PN memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) – 18 oleh BN dan tujuh oleh PN, blok politik itu bekerjasama membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti dua pertiga pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula hanya berpuas hati dengan prestasi yang kian merosot apabila hanya menang 11 daripada 36 kerusi DUN ditandingi, berbanding 17 kerusi dimenangi pada PRN 2023.

Ketika sebahagian penganalisis politik menjangkakan persefahaman itu akan diteruskan dalam pilihan raya akan datang, termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi menawan Putrajaya, ada yang berpandangan usaha mengekalkan kerjasama itu bukan sesuatu yang mudah.

Mereka berpendapat cabaran utama adalah di negeri yang dikuasai sepenuhnya oleh salah satu gabungan, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang didominasi Parti Islam SeMalaysia (PAS), selain antaranya Melaka, Pahang dan Perak di bawah Menteri Besar daripada BN.

Bagaimanapun penganalisis politik yang dihubungi Berita Harian (BH) berpandangan kerjasama BN-PN berpotensi berkembang menjadi pakatan yang lebih kukuh menjelang pilihan raya akan datang jika kededua gabungan sanggup mengetepikan ego serta mengamalkan sikap bertolak ansur, terutama dalam soal pembahagian kerusi.

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail.
Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail. - Foto LAMAN WEB UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail, berkata kejayaan kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan membuktikan formula itu mampu diperluaskan ke negeri lain.

Namun, ia bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak untuk saling memberi dan menerima.

“Saya melihat secara keseluruhannya, kalau kedua-dua parti sanggup menurunkan ego dan boleh bertolak ansur, mereka boleh pergi lebih jauh.

“Asasnya sudah ada kerana kerjasama seperti ini mendapat sambutan dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu/Islam.

“Selain mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, ia juga berpotensi menarik pengundi muda yang masih belum mempunyai pendirian politik yang jelas,” katanya kepada BH.

BN-PN ‘BERTUNANG’ DI NEGERI SEMBILAN

Beliau berkata perkembangan kerjasama BN-PN setakat ini juga menunjukkan hubungan antara kededua gabungan semakin matang.

Menurutnya, pada PRN Johor pada Julai lalu, kerjasama BN-PN masih berada pada peringkat awal apabila PAS – komponen utama dalam gabungan itu, memberi sokongan kepada calon BN walaupun tanpa persefahaman yang jelas.

“Kalau di Johor saya ibaratkan seperti ‘merisik’, belum berlaku kerjasama sepenuhnya, tetapi sudah ada bibit ke arah kerjasama itu.

“Di Negeri Sembilan pula saya lihat mereka sudah seperti ‘bertunang’.

“Di kerusi yang ditandingi BN, PN tidak bertanding dan begitu juga sebaliknya. Kededuanya saling memberi sokongan,” katanya.

Beliau menjangkakan Melaka adalah medan ujian sebenar terhadap kerjasama BN-PN kerana ia akan menjadi penentu sama ada gabungan itu akan benar-benar ‘berkahwin’ atau putus di tengah jalan.

“Sebab di Melaka ini ada kawasan yang dikuasai PAS dan Umno memang tewas pun.

“Jadi di sinilah bagaimana toleransi antara BN-PN boleh dinilai. Kalau kededuanya berebut kerusi, di situlah ujian sebenarnya.

“Tapi andai kata di Melaka selesai (kerjasama BN-PN), maka di negeri-negeri lain ia boleh jadi ‘role model’ (suri teladan) atau ‘precedent case’ (contoh terdahulu). Sebab jika mereka bijak berpolitik, mereka akan berfikir secara menang-menang (saling menguntungkan),” katanya.

Sebelum ini, media Malaysia melaporkan Pesuruhjaya PAS Melaka, Encik Zulkifli Ismail, berkata parti itu berhasrat bertanding di 16 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di negeri itu.

Menurutnya jumlah kerusi yang mahu ditandingi itu dianggap realistik menyusuli kemenangan calon PAS di kerusi Parlimen Jasin dan Tangga Batu dalam PRU 2022.

Bagaimanapun, PN hanya memiliki dua kerusi DUN Melaka, masing-masing satu oleh PAS dan Bersatu.

Walaupun ketika ini BN Melaka menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN di negeri itu, gabungan berkenaan tidak memegang sebarang kerusi Parlimen di Melaka.

Pada 6 Ogos, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata BN Melaka mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN akan datang.

Pemimpin kededua parti juga sebelum ini dilaporkan berkata BN dan PN mungkin mencapai bentuk persefahaman yang berbeza bagi menghadapi PRN Melaka, meskipun kededua gabungan mencatat kemenangan meyakinkan dalam PRN Negeri Sembilan.

Kenyataan itu dilihat sesetengah pihak sebagai bibit perpecahan antara BN-PN, sebelum kerjasama itu berlarutan lebih jauh sehingga PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Dr Mahadee berkata kerjasama BN-PN itu mungkin lebih mudah dilaksanakan di negeri Pantai Barat seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Perak kerana kawasan berkenaan secara tradisinya lebih cenderung kepada BN.

“Jika di Negeri Sembilan dan Johor PN/PAS sudah beri laluan mudah pada Umno/BN, kalau di negeri dikuasai PAS seperti Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis, BN perlu beri laluan pada PAS,” katanya.

Beliau berpandangan, berdasarkan landskap politik semasa, kerjasama BN-PN akan memberikan kelebihan kepada kedua-dua gabungan dalam berdepan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU akan datang.

“Jika BN-PN mahu bentuk Kerajaan Persekutuan, inilah strategi yang terbaik. Jika PN kerjasama dengan BN mereka boleh menang kerusi Parlimen secara padu,” katanya.

Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen (Dewan Rakyat), di mana majoriti sebanyak 112 kerusi diperlukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan keputusan PRU15 pada 2022, PH menguasai 82 kerusi Parlimen, dengan parti komponennya – Parti Tindakan Demokratik (DAP) memegang kerusi terbanyak iaitu 40; diikuti Parti Keadilan Rakyat (31 kerusi); dan Parti Amanah Negara (lapan); serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (dua).

Blok pembangkang PN pula menguasai 74 kerusi dengan komponen PAS memegang jumlah terbanyak iaitu 43 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan 31 kerusi.

Bagaimanapun, beberapa krisis termasuk perpecahan PAS-Bersatu pada Jun lalu, memperlihatkan PN dianggotai parti baharu diketuai mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memimpin Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Sementara Bersatu dijangka meninggalkan PN selepas bertanding solo pada PRN Negeri Sembilan lalu dan gagal memenangi sebarang kerusi.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud.
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud. - Foto ihsan WAN MOHD NAZRI WAN DAUD

BN TANDING DI KERUSI BERSATU

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud, berkata berdasarkan perkembangan politik semasa, terdapat kemungkinan BN/Umno akan bertanding di kerusi yang sebelum ini diperuntukkan PN kepada Bersatu, terutama di negeri dikuasai PAS.

Menurutnya, kerjasama itu bagaimanapun memerlukan rundingan teliti antara parti dalam gabungan bagi memastikan pembahagian kerusi dipersetujui semua pihak.

“Saya melihat akan ada proses pertukaran kerusi. Misalnya, kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu berkemungkinan ditandingi BN/Umno, manakala parti-parti lain akan membuat penyesuaian berdasarkan kekuatan masing-masing.

“Jika BN/Umno mahu menambah kerusi lagi, ia bergantung kepada persetujuan PAS,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Wan Mohd Nazri, berkata kelangsungan kerjasama itu bukan sahaja bergantung kepada persetujuan antara BN dengan PAS, malah turut dipengaruhi oleh dinamik dalaman Umno sendiri.

Beliau berkata sokongan terhadap kerjasama dengan PAS bukanlah seragam dalam Umno, sekali gus menjadikan pendirian parti itu antara faktor yang akan menentukan hala tuju kerjasama berkenaan.

“Kalau Umno kembali kukuh, timbul persoalan sama ada parti itu masih melihat keperluan untuk meneruskan kerjasama atau sebaliknya.

“Semua itu bergantung kepada perkembangan politik semasa dan keputusan kepimpinan parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam politik, rundingan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya juga sama penting dengan keputusan di kotak undi.

“Politik akhirnya berkisar kepada kepentingan dan rundingan. Sebab itu, apa yang berlaku selepas pilihan raya juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Dengan perkembangan politik semasa, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang akan berlangsung pada 9 hingga 12 September depan dijangka menjadi tumpuan, terutama berhubung hala tuju persefahaman antara BN dengan PN serta persediaan menghadapi PRN Melaka dan PRU16.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman. - Foto fail NSTP

BINCANG KERJASAMA BN-PN

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman, berkata kejayaan formula kerjasama di Negeri Sembilan menunjukkan kedua-dua gabungan mampu mengetepikan perbezaan demi mencapai matlamat lebih besar.

“Kalau hendak mengurangkan persaingan politik sesama parti-parti Melayu, formula yang digunakan di Negeri Sembilan amat sesuai untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain.

“Kita tidak boleh bersatu seketika kemudian berpecah semula.

“Kerjasama seperti ini perlu dibina dengan kesabaran dan kesepakatan kerana ia masih rapuh,” kata veteran Umno itu kepada BH.

Tan Sri Dr Abdul Aziz mengakui rundingan pembahagian kerusi bakal menjadi cabaran terbesar memandangkan setiap parti mempunyai kawasan yang dianggap sebagai kubu tradisi.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak bersedia mengamalkan semangat bertolak ansur dan meletakkan kepentingan membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU16, mengatasi kepentingan di peringkat negeri.

“Kalau sasaran kita ialah membentuk Kerajaan Persekutuan, semangat ‘give and take’ (tolak ansur) itu mesti ada. Formula di Negeri Sembilan boleh disesuaikan mengikut keadaan di setiap negeri,” katanya.

Mengulas pendirian BN yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo pada PRU16, beliau berpandangan pendekatan itu tidak semestinya bermaksud bertanding tanpa sebarang kerjasama.

“Solo tidak semestinya bermaksud BN/Umno bertanding di semua kerusi. Ia boleh diterjemahkan sebagai bertanding di kawasan yang parti benar-benar mempunyai kekuatan.

“Yang penting, jangan sampai perpecahan menyebabkan peluang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan terjejas,” katanya.

Menurutnya, platform PAU 2026 wajar dimanfaatkan untuk membincangkan secara lebih mendalam bersama akar umbi, bentuk kerjasama yang mahu dibina, sekali gus memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada kededua-dua gabungan menjelang PRU16.