TUARAN (Sabah): Barisan Nasional (BN) terus memperkukuh gerak kerja pilihan raya di Sabah apabila pimpinan Umno Johor turun padang membantu kempen dua calon parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit, sekali gus menzahirkan solidariti nasional dalam usaha meraih mandat baru daripada rakyat negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Umno Johor menerima amanah sebagai negeri angkat bagi kawasan Sulaman dan Pantai Dalit, satu tanggungjawab yang disambut dengan penuh komitmen oleh seluruh jentera parti negeri itu.
Menurut beliau, lawatan kerja ke Pekan Tuaran memberi ruang untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat, mendengar sendiri keperluan peniaga dan penduduk, selain menilai harapan mereka terhadap calon-calon BN yang bertanding.
“Calon DUN Sulaman, Dr Shahnnon Rizal Thaijudin (N12), dan calon DUN Pantai Dalit, Encik Alfian Sambas (N13), merupakan barisan pemimpin baru yang mempunyai kelayakan, pengalaman serta rekod khidmat yang diyakini mampu membawa perubahan positif kepada rakyat Tuaran.
“Sambutan masyarakat di Tuaran amat baik. Kita lihat kesatuan jentera, semangat yang ditunjukkan serta kesepaduan kepimpinan BN Johor dan jentera BN Tuaran memberikan keyakinan bahawa kemenangan boleh dicapai dengan izin Allah swt,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 November.
Datuk Onn Hafiz yang juga merupakan Menteri Besar Johor turut bertemu jentera BN Parlimen Tuaran, menghargai komitmen mereka yang bekerja keras di lapangan menjelang pemilihan, selain meniupkan semangat agar seluruh jentera terus bergerak secara disiplin dan tersusun.
Ketua Umno Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang mengiringi Menteri Besar Johor dalam rangka kempen tersebut, berkata kehadiran pimpinan Umno dari Johor membuktikan bahawa BN bergerak sebagai satu pasukan nasional yang teratur dan komited memastikan kestabilan serta kemajuan Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata sokongan rakyat Tuaran kelihatan positif, dengan ramai menyatakan keyakinan terhadap rekod BN dalam menyelesaikan isu-isu rakyat secara konsisten.
Beliau menegaskan bahawa calon Sulaman dan Pantai Dalit mewakili kelompok pemimpin muda berwibawa yang mampu memperkukuh pembangunan daerah tersebut.
“Usaha berterusan jentera BN yang bekerja di peringkat akar umbi perlu diperkasa dan disokong dengan gerak kerja lebih tersusun menjelang hari pembuangan undi. Saya yakin gandingan antara kepimpinan pusat, negeri dan akar umbi memberi kelebihan kepada BN dalam meraih keyakinan pengundi.
“Dengan dukungan rakyat Tuaran serta kerjasama jentera yang mantap, kita yakin BN mampu kembali memperkuat kedudukan di Sulaman dan Pantai Dalit,” katanya.
Beliau menambah bahawa Umno Johor akan terus memainkan peranan sebagai negeri angkat sehingga ke hari pengundian bagi memastikan segala bantuan logistik, sokongan strategik dan tenaga jentera dapat digerakkan dengan berkesan demi kemenangan BN di Tuaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg