PARIT (Perak): Umno berharap mahkamah mempertimbangkan sebahagian aset milik bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, yang tertakluk kepada perintah pembekuan, dapat digunakan bagi melunaskan denda RM50 juta ($15.65 juta).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu sedang berusaha ke arah itu.

“Ya kita mengharapkan supaya pihak mahkamah juga akan mengambil kira perkara ini,” katanya selepas majlis penutup pertandingan Debat Maktab Rendah Saina Mara (MRSM) Piala Timbalan Perdana Menteri, di Parit, Perak, pada 21 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas syor membolehkan akaun aset Encik Najib yang dibekukan digunakan bagi membayar denda itu.

Datuk Asyraf, yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), berkata setakat ini Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan Umno pada 18 September lalu telah berjaya mengumpul kira-kira RM2 juta.

“Kita menjangkakan masuk hari ini ia (kutipan) akan mencecah RM2 juta. Boleh dikatakan untuk setiap jam akan ada antara RM40,000 hingga RM50,000 penambahan (kutipan).

“Ini adalah hasil daripada yang kita kutip, di mana kita tidak mewajibkannya (kepada ahli untuk menyumbang), sebaliknya ia bersifat sukarela bagi sesiapa yang hendak membantu,” katanya.

Encik Najib kini menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM210 juta dan penjara 12 tahun.

Bagaimanapun, pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Encik Najib kemudian mendakwa keputusan pengampunan itu turut hadir bersama satu perintah tambahan (Titah Adendum) oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membenarkan beliau untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2025 menolak permohonan Encik Najib, 73 tahun, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum itu kerana ia tidak dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Bekas Presiden Umno itu kemudian diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, tetapi perlu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Menyusuli itu, Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib untuk mengumpulkan dana bagi membantu Encik Najib melunaskan denda berkenaan.