ISKANDAR PUTERI: Konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Umno perlu dijadikan wadah penyatuan seluruh orang Melayu dan umat Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata konsep tersebut melambangkan akar perjuangan politik Melayu yang lahir daripada Umno dan berkembang dalam pelbagai bentuk.

“Rumah Bangsa ini bukan sekadar slogan. Ia lambang penyatuan dan warisan perjuangan yang membawa kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat.

“Kalau benar ikhlas mahu bersatu, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka demi penyatuan ummah dan kekuatan Bangsa Johor,” katanya berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, pada 7 Jun.

Beliau turut menyindir parti-parti serpihan yang kini kembali bercakap mengenai perpaduan selepas berdepan pelbagai cabaran politik.

“Hari ini, parti serpihan sudah mula bercakap tentang penyatuan.

“Mereka datang hanya bila pilihan raya. Hanya selepas tiang pondok mereka dimakan anai-anai, atap pun mulai bocor, dinding pula mulai mereput,” katanya.

Menurutnya, penyatuan yang dibina atas keikhlasan akan menjadi kekuatan utama dalam menghadapi cabaran politik semasa, lapor MalaysiaGazette.

“Rumah Bangsa Johor mesti dipertahankan. Bumbungnya ialah kesatuan, tiangnya ialah kesetiaan dan dindingnya ialah pengorbanan,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid juga mengingatkan agar pimpinan dan akar umbi BN tidak membiarkan rumah gagasan itu dimasuki muslihat pihak tertentu yang cuba mensabotaj parti dari dalam.

“Jangan dibiarkan tergoncang oleh politik khianat. Jangan sesekali dibiarkan atapnya dibocori. Jangan termakan janji bulan dan bintang yang akhirnya tidak tertunai,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid turut menegaskan Umno dan BN sentiasa menjunjung institusi diraja dan berpegang kepada perlembagaan dan pendirian itu tidak pernah berubah sehingga kini.

“Walaupun ada suara yang cuba menghina institusi Kesultanan, mencerca duli-duli Tuanku mahupun menyindir hak mutlak Raja termasuk dalam soal pengampunan.

“Umno dan BN tetap teguh mempertahankan institusi diraja dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.