SHAH ALAM: Umno Bahagian Sembrong bebas menyuarakan pandangan termasuk mencadangkan penarikan balik penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, namun pucuk pimpinan Umno setakat ini belum menerima sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu.
Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata setiap bahagian berhak membawa usul dalam mesyuarat masing-masing, tetapi keputusan berkaitan status keahlian masih terletak di tangan kepimpinan tertinggi parti.
“Semua Umno Bahagian boleh buat usul atau permohonan mereka. Tidak ada masalah, itu hak mereka. Tapi setakat ini saya tidak nampak atau terima sebarang permohonan rasmi mengenai perkara ini, mungkin dibangkitkan dalam mesyuarat pengurusan parti,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau mengulas cadangan Umno Bahagian Sembrong supaya penggantungan keahlian Datuk Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat, seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian itu di Rumah Komuniti Umno Sembrong pada 21 Jun.
Difahamkan, ini merupakan tahun kedua berturut-turut usul tersebut dibawa oleh Umno Bahagian Sembrong.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang merasmikan mesyuarat itu, turut menyatakan penghargaan terhadap peranan besar Datuk Hishammuddin dalam kerjaya politiknya.
“Sembrong bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan. Orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya.
Meskipun Datuk Hishammuddin tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, Datuk Onn Hafiz berkata usul yang dikemukakan mencerminkan penghargaan dan sokongan akar umbi terhadap kepimpinannya.
Datuk Hishammuddin digantung keahlian Umno pada 2023 atas dakwaan melanggar disiplin parti, namun masih mengekalkan pengaruh kukuh di Sembrong, kerusi Parlimen yang diwakilinya sejak 2004.
Sokongan terhadap beliau turut dinyatakan oleh beberapa sayap dan pemimpin negeri, termasuk Wanita Umno Johor dan Pemuda Umno Johor, yang menyifatkan penyatuan kembali tokoh berpengalaman sepertinya penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg