Umno seru ahli Bersatu Johor kembali demi politik Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno seru ahli Bersatu Johor kembali demi politik Melayu

Feb 19, 2026 | 12:36 PM

Umno seru ahli Bersatu Johor kembali demi politik Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Umno, Bersatu, Johor, Datuk Yahya Jaafar
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar. - Foto FACEBOOK YAHYA JAAFAR

Umno mengajak ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor kembali menyertai parti itu susulan pembubaran beberapa bahagiannya di negeri itu, yang disifatkan sebagai pengajaran penting mengenai keperluan kesatuan politik orang Melayu.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar, berkata pembubaran 11 bahagian Bersatu, termasuk Bahagian Johor Bahru, membuktikan kekuatan politik tidak boleh dibina atas perpecahan, sebaliknya memerlukan kestabilan dan perpaduan yang teguh.

Beliau mengingatkan sejarah Umno adalah wadah perjuangan orang Melayu, tonggak kepimpinan dan dasar pembangunan negara sejak sebelum dan selepas kemerdekaan.

“Perkembangan ini harus dijadikan iktibar bahawa kekuatan politik orang Melayu tidak boleh dibina atas perpecahan. Ia mesti diasaskan atas kesatuan dan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Februari.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli Bersatu yang terlibat supaya kembali kepada “wadah asal perjuangan” dan bersama-sama memperkukuh kesatuan politik Melayu melalui Umno.

Seruan ini, katanya lagi, selari dengan gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyatukan kembali kekuatan orang Melayu di bawah satu payung politik yang stabil dan diyakini rakyat.

Dalam masa sama, Datuk Yahya berkata kestabilan politik di Johor ketika ini membolehkan negeri itu terus melangkah ke hadapan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya kepimpinan negeri yang stabil membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan pengurusan kewangan negeri yang lebih baik.

Beliau turut menggesa semua pihak mengetepikan perbezaan kecil serta mengelakkan politik perpecahan, sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan negeri.

“Ketika landskap politik semakin mencabar, kita tidak mampu terus berpecah dalam kelompok kecil yang melemahkan suara dan pengaruh orang Melayu,” katanya.

Datuk Yahya berkata perpaduan politik penting bagi memastikan Johor terus makmur dan berdaya saing, selain memelihara kestabilan negeri demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang.

Terdahulu, Berita Harian Malaysia melaporkan sebanyak 11 daripada 26 bahagian Bersatu di Johor pada 18 Februari mengumumkan pembubaran susulan kemelut dalaman parti yang semakin meruncing.

Bahagian-bahagian tersebut ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.

Pengumuman itu dibuat wakil ketua bahagian negeri diketuai Ketua Bahagian Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid, susulan krisis kepimpinan parti yang didakwa semakin meruncing dan gagal ditangani secara berhemah pucuk pimpinan.

Datuk Isa berkata pembubaran bahagian berlaku apabila lebih separuh jawatankuasa bahagian meletakkan jawatan, sekali gus menyebabkan struktur kepimpinan bahagian tidak lagi dapat berfungsi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg