Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno Tebrau pertahan keputusan BN tanding 56 kerusi DUN Johor
Umno Tebrau pertahan keputusan BN tanding 56 kerusi DUN Johor
Umno Tebrau pertahan keputusan BN tanding 56 kerusi DUN Johor
JOHOR BAHRU: Rentetan kenyataan Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse mengenai dakwaan Barisan Nasional (BN) Johor meminggirkan Pakatan Harapan (PH), Umno Bahagian Tebrau tampil membidas.
Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman, menasihati Encik Puah agar tidak terlalu ‘ghairah’ berpolitik, sebaliknya menumpukan perhatian kepada persoalan rakyat mengenai prestasi beliau sebagai wakil rakyat.
Rakyat Tebrau, katanya, lebih mendambakan jawapan mengenai pencapaian sebenar AP kerajaan pusat itu setelah hampir empat tahun memegang amanah.
“Jika benar BN Johor terlalu ‘zalim’ terhadap PH, mengapa wakil rakyat BN di Tebrau pula yang sibuk turun padang membantu rakyat tanpa mengira sentimen parti? Kebanyakan usaha menyelesaikan isu jalan raya, kebajikan, dan pembangunan setempat datangnya daripada kerajaan negeri serta wakil BN sendiri, pihak yang Encik Puah sering tuduh tanpa usul periksa,” tegas Datuk Abdul Halim pada 27 Mei.
Setiausaha BN Johor itu turut menolak dakwaan bahawa keputusan BN untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bukti PH dipinggirkan.
“Dalam politik, setiap parti ada hak untuk bersedia dan bertanding di mana-mana kerusi. Ini bukan isu ‘pinggir’ atau ‘khianat’, ini adalah amalan demokrasi pilihan raya,” jelasnya, sambil menambah dakwaan tersebut tidak berasas.
Datuk Abdul Halim turut mendakwa kerajaan Johor dibentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan pasca-PRU15. Ini menjadikan situasi politik Johor unik berbanding negeri lain.
Beliau menyangkal cubaan Encik Puah membandingkan layanan di Johor dengan Selangor, sambil menyindir, “Lucunya, Encik Puah bercakap macam PH di Selangor terlalu pemurah kepada BN. Hakikatnya BN hanya diberi satu kerusi Exco sahaja di Selangor.”
Dalam pada itu, Datuk Abdul Halim mendakwa penduduk Tebrau masih terbeban dengan pelbagai isu setempat yang belum berkesudahan, meskipun kawasan itu memiliki wakil rakyat daripada kerajaan pusat.
Penduduk mengeluh kerana AP mereka dikatakan lebih banyak menghantar wakil, berbanding turun sendiri bertemu rakyat.
“Hampir empat tahun jadi AP, Tebrau masih macam dulu. Isu rakyat masih sama. Masalah setempat masih berulang.”
Justeru, beliau berkata Encik Puah wajar menjawab dahulu persoalan rakyat mengenai perubahan besar yang sudah dibawanya kepada Tebrau, sebelum menuduh pihak lain meminggirkan PH.
Terdahulu, pada 25 Mei, Encik Puah dalam kenyataan balasnya berkata, PH memilih Kerajaan Perpaduan dengan BN di peringkat Persekutuan demi kestabilan negara dan mengelakkan politik ekstrem.
“Namun apabila melihat keadaan di Johor, kita menyaksikan pendekatan berbeza apabila ada pihak secara terbuka mahu bertanding di semua kerusi dan membungkus banyak hasil yang didorong Kerajaan Persekutuan seolah-olah kejayaan mutlak kerajaan negeri semata-mata.”
Beliau menyimpulkan sikap sebegini bukan sahaja tidak adil, malah tidak menghormati usaha dan sumbangan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor.
