Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz meninggal selepas rumah terbakar di Sabah, sempat azan sebelum rebah

May 7, 2025 | 3:12 PM
kebakaran, meninggal, Sabah, ustaz
Allahyarham Ahmad Abdul Malik, yang juga pengerusi masjid selain menjadi guru agama dan imam, sedang tidur apabila dikejutkan semasa kebakaran terjadi, kira-kira 3 pagi Selasa. - Foto BH ONLINE

TAWAU (Sabah): Seorang penceramah bebas sempat melaungkan azan ketika kawasan perkampungan yang didiaminya terbakar di sini, dinihari Selasa, sebelum rebah dan meninggal dunia akibat sesak nafas.

Ketika kejadian kira-kira 3 pagi, Allahyarham Ahmad Abdul Malik, 60 tahun, yang juga Pengerusi Masjid Baiturrahman di Kampung Baru Batu 2, selain menjadi guru agama dan imam, sedang tidur apabila dikejutkan semasa kebakaran terjadi.

Ketika itu beliau bersama isteri dan seorang anak perempuannya berada di rumah berkenaan.

Menurut kenalan rapat Allahyarham, Encik Amran Lahamin, 50 tahun, ketika kejadian, beliau bersama penduduk kampung sedang membantu untuk menyelamatkan barang-barang milik mangsa termasuk kenderaan.

“Ketika api sedang marak memusnahkan tiga rumah bersebelahan, Ustaz (Ahmad) dilihat sempat melaungkan azan sebelum beliau rebah dan kemudian di bawa ke hospital.

Beliau kemudian disahkan meninggal di situ.

“Bagaimanapun hanya bahagian dapur rumah Allahyarham rosak akibat terkena bahang,” katanya, sambil menyifatkan Allahyarham sebagai seorang guru agama berdedikasi dan sering menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal ehwal agama.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islamiah Tawau, selepas selesai solat Zohor pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Encik Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.17 pagi sebelum sepasukan 25 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan 47 rumah lain yang berhampiran dari kawasan kebakaran tersebut.

“Tiga rumah terbakar sepenuhnya dan keadaan kembali terkawal pada 4.04 pagi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg