Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak 10 tahun maut, 21 cedera dalam kebakaran rumah kedai di River Valley Road

Apr 8, 2025 | 6:11 PM
Beberapa orang kebanyakannya remaja dilihat duduk di belebas bangunan, menunggu untuk diselamatkan.
Beberapa orang kebanyakannya remaja dilihat duduk di belebas bangunan, menunggu untuk diselamatkan. - Foto PEMBACA ST

Seorang kanak-kanak maut, manakala 21 mangsa lain cedera dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di River Valley Road pada 8 April.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia selepas dia dibawa ke hospital, kata polis.

Seramai 22 mangsa yang terlibat itu terdiri daripada enam dewasa berumur antara 23 tahun dengan 55 tahun, dan 16 kanak-kanak berusia antara enam tahun dengan 10 tahun, tambah mereka.

Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di 278 River Valley Road kira-kira 9.45 pagi.

Semakan akhbar The Straits Times (ST) mendapati alamat tersenarai adalah Tomato Cooking School, yang menganjurkan kursus memasak dan kem untuk kanak-kanak.

Seramai 15 kanak-kanak dan empat orang dewasa telah dibawa ke hospital, kata SCDF.

Dalam maklumat terkini hampir 3 petang, SCDF berkata seorang lagi mangsa dewasa kemudian mendapatkan bantuan perubatan.

Apabila pegawai SCDF tiba di tempat kejadian, kebakaran sedang marak di tingkat dua dan tiga rumah kedai tiga tingkat itu, kata kenyataan itu.

“Orang ramai, termasuk pekerja binaan, menggunakan perancah bangunan dan tangga untuk menyelamatkan mereka yang masih berada di dalam bangunan,” tambah SCDF.

Pegawai SCDF menggunakan tangga untuk menyelamatkan diri mereka yang duduk di belebas bangunan, manakala sebahagian lagi bergegas ke tingkat dua dan tiga.

Api berjaya dipadamkan dalam tempoh 30 minit dengan menggunakan tiga pancutan air.

Sekitar 80 orang dari rumah kedai terbabit dan premis berhampiran telah dipindahkan.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook sekitar 10 pagi, asap hitam tebal dan berkepul-kepul dilihat menderu keluar daripada tingkap tingkat tiga bangunan itu.

Beberapa orang yang memakai jaket pula dilihat pada perancah dan menghulurkan tangan untuk membantu mereka yang duduk di atas belebas di bawah tingkap.

Ketika ST tiba di tempat kejadian sekitar 10.50 pagi, terdapat beberapa kenderaan polis, empat jentera bomba dan beberapa ambulans berada di tempat kejadian.

Jalan berdekatan telah dikepung oleh polis, walaupun orang ramai telah berkumpul di sekelilingnya.

Bercakap kepada ST, saksi berkata terdapat seramai lima orang masih berada di dalam unit yang terbakar sebelum pegawai SCDF memasuki premis itu untuk menyelamatkan mereka.

Encik Shaik Amirudin, yang memiliki studio Flex Fitness berdekatan, berkata beliau terdengar bunyi yang kuat sebelum seorang pelanggan yang meninggalkan studio memberitahunya tentang kebakaran itu. Beliau segera mengosongkan premis itu bersama pelanggan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg