KUALA LUMPUR: Kepetahan pegawai wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berkomunikasi dalam bahasa Russia mencuri tumpuan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) sehingga menimbulkan rasa kagum ramai.
Leftenan Kolonel Dr Siti Khadijah Abdul Hamid dilihat bersembang dalam bahasa berkenaan dengan seorang juruterbang dari Russia.
Video berkenaan tular selepas dikongsikan pengguna TikTok @belengas369 sehingga meraih pujian ramai.
Menurut Pakar Perubatan Kecemasan di Institut Perubatan Penerbangan, Pangkalan Udara Subang, Selangor itu, beliau bertemu dan bersembang dengan juruterbang Russian Knights semasa menjalankan tugas di LIMA’25.
“Beliau bertanya, adakah saya seorang penterjemah? Saya jawab bukan. Saya seorang doktor.
“Kemudian beliau memperkenalkan namanya dan saya pun beritahu nama saya.
“Ia cuma perbualan biasa kerana saya kebetulan datang melawat tempat pamerannya. Tidak sangka pula gelagat kami dirakam seorang anggota ATM yang bertugas di situ,” katanya kepada Harian Metro pada 22 Mei.
Mengulas lanjut, Dr Siti Khadijah berkata beliau mula mempelajari bahasa Russia ketika menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Perubatan Crimea State, Simferopol, Crimea dari 2003 hingga 2009.
Katanya, bahasa itu sebagai salah satu subjek keperluan pengajiannya berikutan perlu berkomunikasi dengan pesakit dan warga tempatan yang menggunakan bahasa ibunda mereka.
“Walaupun bahasa pengantaraan bahasa Inggeris, tetapi bahasa Russia diperlukan kerana kami perlu berjumpa dengan pesakit mahupun berurusan dengan peniaga pasar dan orang tempatan yang menggunakan bahasa mereka.
“Mula-mula memang susah, tetapi apabila selalu perlu berkomunikasi dengan orang sekeliling menggunakan bahasa Russia, akhirnya dalam tempoh setahun saya mula mahir,” katanya.
Menurutnya, selain fasih berbahasa Russia, beliau juga boleh bertutur dalam Mandarin berikutan pernah bersekolah Cina.
“Tidak rugi belajar bahasa asing, ia satu nilai tambah terutama boleh membina contact dan menyenangkan urusan seharian bahkan di tempat kerja,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg