Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sihat Membesar SG diperkenal galak gaya hidup sihat kanak-kanak

Inisiatif pelbagai kementerian bagi tangani aspek kesihatan, kesejahteraan kanak-kanak dalam era digital
Jan 21, 2025 | 3:00 PM
Sihat Membesar SG, yang diperkenalkan pada 21 Januari, menggalakkan gaya hidup lebih sihat dalam golongan kanak-kanak dari lahir hingga 12 tahun.
Sihat Membesar SG, yang diperkenalkan pada 21 Januari, menggalakkan gaya hidup lebih sihat dalam golongan kanak-kanak dari lahir hingga 12 tahun. - Foto ST
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, bersama pelajar Sekolah Rendah Temasek pada 21 Januari untuk memperkenalkan Sihat Membesar SG, satu strategi kesihatan nasional baru.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, bersama pelajar Sekolah Rendah Temasek pada 21 Januari untuk memperkenalkan Sihat Membesar SG, satu strategi kesihatan nasional baru. -

Sebuah strategi kesihatan nasional baru untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat kanak-kanak dari lahir hingga 12 tahun telah diperkenalkan.

Dinamakan Sihat Membesar SG atau Grow Well SG, strategi pelbagai kementerian itu bertujuan menangani aspek kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak secara holistik dalam era digital.

Bercakap semasa sidang media pada 21 Januari, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata terdapat kajian dan bukti yang menunjukkan impak negatif akibat penggunaan alat digital secara berlebihan.

Dengan itu, adalah penting untuk mengambil intervensi atau campur tangan awal, katanya.

Terdapat tiga inisiatif di bawah strategi baru itu.

Antaranya, garis panduan lebih terperinci mengenai pengurusan peralatan digital di sekolah, termasuk jam tangan pintar, di bawah inisiatif penggunaan skrin bermakna. Peraturan ini boleh disesuaikan mengikut keperluan sekolah, dan pendekatan kurikulum yang diterapkan.

Sebagai contoh, ruang menyimpan telefon bimbit boleh disediakan di kawasan tertentu untuk pelajar, dan penggunaan alat digital seperti telefon bimbit hanya di kawasan yang ditetapkan pada masa yang sesuai (semasa rehat atau selepas waktu sekolah).

Penggunaan peralatan digital antara kanak-kanak bawah umur 18 bulan dilarang mulai 1 Februari 2025.

Ibu bapa dengan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun juga dinasihatkan supaya mengehadkan penggunaan skrin kanak-kanak mereka kepada kurang daripada satu jam sehari di luar waktu sekolah.

Had masa kurang daripada sejam juga diusulkan bagi penggunaan alat digital buat mereka yang berumur 18 bulan hingga enam tahun. Penggunaan alat digital bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun pula dihadkan kepada dua jam.

Ini supaya kanak-kanak ada masa untuk aktiviti lain seperti senaman dan waktu tidur yang cukup.

Larangan ini hanya dikecualikan untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan panggilan melalui video, kata MOH.

Hubungan kukuh ibu bapa dan anak membolehkan ibu bapa membina dan mengekalkan tabiat sihat dalam diri anak-anak mereka.

Sejajar itu, MOH juga mengumumkan sokongan yang bakal diberikan kepada keluarga supaya kanak-kanak dapat mengamalkan tingkah laku sihat utama dari lahir hingga tahun persekolahan.

Rancangan Kesihatan terdiri daripada gaya hidup setiap individu, keputusan pemeriksaan kesihatan sekolah, laporan vaksinasi, dan rujukan ke institusi penjagaan kesihatan awam jika perlu.

Setakat ini, ia hanya dilaksanakan bagi pelajar Darjah 1 hingga 3.

Dengan rancangan yang disediakan, ibu bapa mendapat panduan dan sumber untuk membantu anak-anak mereka membina tabiat sihat di rumah.

Senarai Semak Tingkah Laku Kesihatan Kanak-Kanak baru juga menyediakan panduan tentang tingkah laku kesihatan bagi anak mereka.

Dalam peringkat sekolah, semua sekolah rendah juga akan meraih Kad Status Kesihatan Pelajar yang merangkumi data gaya hidup golongan pelajar mereka.

Ini direka dengan tujuan intervensi kesihatan yang lebih tepat.

Laman web Parenting for Wellness di Parent Hub yang diperbaharui dengan sumber-sumber baru membolehkan ibu bapa mengakses panduan dan strategi mudah untuk membina hubungan yang kukuh dengan anak mereka dan menyokong kesejahteraan mental mereka.

Menurut MOH, langkah-langkah tersebut adalah antara usaha sekolah bagi mengenal pasti keperluan kesihatan dan intervensi yang diperlukan pelajar mereka, dan mendidik mereka tentang tingkah laku sihat yang sesuai.

Menurut MOH lagi, walaupun kebanyakan kanak-kanak di Singapura secara am berada dalam keadaan sihat, ramai yang masih menghadapi risiko yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan perkembangan mereka.

“Kami perlu lakukan intervensi awal untuk memastikan perkembangan betul dalam kalangan anak-anak kita, daripada menunggu ia menjadi satu krisis kesihatan,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg