Topik diikuti
Pergi ke BHkuWakil rakyat Kedah mengaku tidak bersalah atas tuduhan cetus kebimbangan awam
Wakil rakyat Kedah mengaku tidak bersalah atas tuduhan cetus kebimbangan awam
Wakil rakyat Kedah mengaku tidak bersalah atas tuduhan cetus kebimbangan awam
SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra (Kedah) daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Haim Hilman Abdullah, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada 25 Jun, atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan awam berkenaan isu kemasukan ke universiti awam di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau didenda atau kededuanya sekali.
Dr Haim Hilman bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika menyampaikan ucapan dalam ceramah politik antara 8 malam dengan 12 tengah malam pada 13 Jun lalu, di Markas Parti Islam SeMalaysia (PAS) Seremban.
Mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah itu didakwa mengeluarkan ucapan yang mendakwa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia membuka ‘pintu belakang’ untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak orang kaya yang tidak layak.
Sementara itu, Dr Haim Hilman, yang ditemui selepas pertuduhan itu, berkata beliau bertekad akan terus memperjuangkan hak mendapatkan akses pendidikan tinggi secara lebih adil kepada semua pelajar.
Menurutnya, beliau tidak akan patah semangat memperjuangkan isu itu khususnya bagi anak keluarga kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pendidikan.
“Hari ini, saya dituduh dengan perkara yang pada saya perlu terus kita bongkar kerana saya mempersoalkan polisi dan dasar kemasukan universiti yang pelbagai untuk anak bangsa kita sendiri.
“Saya akan kekal istiqamah memperjuangkan perkara ini demi keadilan pendidikan buat semua rakyat negara ini.
“Kita perlu berusaha mengembalikan hak anak kita mendapat pendidikan dan akses universiti yang adil berdasarkan merit,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 ($1567.90) dan menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, pada 25 Jun berkata polis menerima 15 laporan berhubung kenyataan yang didakwa dibuat Dr Haim Hilman dalam program berkenaan.
