Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Walaupun kos sara hidup, ekonomi terjejas, ada pihak tersenyum ‘raikannya’

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Walaupun kos sara hidup, ekonomi terjejas, ada pihak tersenyum ‘raikannya’

KESAN KEJATUHAN RINGGIT MALAYSIA
Feb 25, 2024 | 05:30 AM



Di sebalik kejatuhan ringgit Malaysia yang mengundang ‘keluhan’ rakyat negara ini dengan pengukuhan dolar Singapura, ada beberapa perkara menarik untuk dikupas.

Walaupun kelemahan ringgit memberi kesan kepada banyak perkara terutama kos sara hidup rakyat dan kitaran ekonomi sesebuah negara, ada juga pihak yang tersenyum ‘meraikannya’.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mengenai kadar upah dan gaji diterima rakyat Malaysia di Singapura antara pihak yang beruntung dengan kejatuhan nilai ringgit.

Berdasarkan kajian DOSM, 66.7 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu menerima gaji antara RM5,330 ($1,496) hingga RM12,780 sebulan. Jika di Malaysia, tangga gaji sebegitu dalam kategori pertengahan atau dikenali sebagai M40.

Dalam pada itu, 18.5 peratus lagi memperoleh RM12,800 hingga RM35,000 sebulan. Golongan yang memperoleh pendapatan sebegini pula dikategorikan sebagai T20 atau Top 20, iaitu kumpulan berpendapatan tinggi.

Tawaran gaji lumayan hampir tiga kali ganda selepas tukaran ringgit menyebabkan ramai penduduk negara ini, terutama rakyat Johor, sanggup berkorban bersengkang mata berulang alik Malaysia-Singapura setiap hari untuk bekerja.

Dianggarkan, hampir 400,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Singapura sebagai jiran Malaysia, dianggap antara tempat terbaik untuk bekerja kerana kekukuhan mata wangnya, selain persekitaran kerja yang menggalakkan dan politik yang stabil.

Namun, ia secara tidak langsung dibimbangi akan menyebabkan Malaysia kehilangan tenaga kerja mahir dan profesional, dek kerana ramai yang berebut mencari peluang pekerjaan di republik itu.

Antara bidang kritikal yang menghadapi kekangan tenaga kerja ialah kesihatan. Penghijrahan ramai jururawat berpengalaman dari Malaysia ke luar negara dibimbangi akan menggugat sistem kesihatan negara ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ada laporan menyebut Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Cik Nor Hayati Abd Rashid, berkata bahawa dianggarkan 10,000 jururawat memilih untuk berhijrah ke negara luar seperti Singapura dan Arab Saudi kerana memperoleh gaji lumayan, setara dengan gaji seorang doktor pakar di Malaysia selepas ditukar mata wang.

Kelemahan nilai ringgit juga menguntungkan pelancong asing ke Malaysia, yang mendapati nilai mata wang negara mereka lebih tinggi.

Ia boleh mendorong kerancakan ekonomi domestik apabila pelancong asing berbelanja besar ketika bercuti ke negara ini. Dalam hal ini, peniaga di Johor dianggap beruntung kerana meraih jualan tinggi daripada perbelanjaan penduduk Singapura.

Sebaliknya terjadi apabila pelancong Malaysia mengunjungi Singapura. Mereka perlu membayar hampir tiga kali ganda daripada nilai ringgit, sekali gus menjadikan percutian di Singapura bukan pilihan berbaloi bagi rakyat negara ini. Sebagai contoh, untuk setiap RM100, nilainya hanya sekitar $28 di Singapura ketika ini.

Nilai mata wang rendah juga akan mewujudkan persaingan dalam pasaran eksport kerana harga barangan yang lebih rendah berbanding negara lain.

Apabila berlaku kejatuhan mata wang ini, situasi digambarkan seolah-olah ringgit Malaysia hilang nilai pasarannya.

Namun perlu difahami sebenarnya penyusutan ringgit disebabkan faktor luaran khususnya dari Amerika. Selain itu, punca kejatuhan ringgit juga disebabkan dagangan merosot berikutan kelembapan ekonomi China.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Asia. Malah, laporan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) minggu lalu juga menyebut sektor pembuatan mengecut disebabkan eksport yang lemah. Keadaan ini menyebabkan Malaysia tidak mampu bersaing untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Menurut pemerhati ekonomi, Malaysia juga tidak berkemampuan melakukan campur tangan kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap ringgit berikutan rizab BNM hanya AS$114.8 bilion.

Namun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Encik Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memberi harapan bahawa nilai ringgit dijangka menjadi lebih baik daripada sekarang menyusuli sokongan daripada pembaharuan struktur dilaksanakan kerajaan Malaysia pada masa ini.

Dan menurutnya, turun naik mata wang terutama bagi ringgit adalah perkara biasa dan sering didorong penunjuk makroekonomi memandangkan Malaysia adalah negara perdagangan terbuka.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata bank pusat berpandangan bahawa paras semasa ringgit tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia.

Pernah seorang rakan berseloroh “orang Malaysia berbondong-bondong bekerja cari duit di Singapura, rakyat Singapura pula berduyun-duyun habiskan wang berbelanja di Malaysia”.  

Justeru, jika Malaysia dianggap syurga beli-belah buat warga Singapura, sebaliknya warga Malaysia menjadikan Singapura lubuk mencari rezeki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >