KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Machang mendakwa ada pihak tertentu yang kurang senang dengan keberadaan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga wujud cubaan untuk mengetepikan timbalan presiden mereka itu.
Bercakap dalam program audio siar The Zaid Ibrahim Podcast pada 20 Oktober, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa pihak yang terbabit bersependapat bahawa Datuk Hamzah sedang membayangi kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Wan Ahmad Fayhsal antara punca rasa kurang senang sesetengah pihak dalam Bersatu terhadap Datuk Hamzah ialah faktor beliau diterima baik oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya akan datang.
Wan Ahmad Fayhsal yang sedang menjalani hukuman penggantungan keanggotaan oleh Bersatu mendakwa, cubaan mengetepikan Datuk Hamzah itu dibuat sejak AP Larut berkenaan berkhidmat sebagai setiausaha agung parti.
“Ada ketika hubungan Datuk Seri Hamzah dan presiden (Muhyiddin) agak renggang kerana (kehadiran) orang ketiga yang mencucuk, apabila beliau (Hamzah) lebih ke depan dan mendapat liputan.
“Ini kerana beliau hanya setiausaha agung yang dilantik, jadi, (sepatutnya) pandai-pandailah, jangan membayangi (presiden).
“Apabila nak ke depan, ada orang presiden tegur beliau balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” ceritanya, lapor Malaysiakini.
Wan Ahmad Fayhsal merupakan seorang daripada beberapa pemimpin Bersatu yang dilihat tidak sehaluan dengan Tan Sri Muhyiddin dan berada bersama kelompok yang dekat dengan Datuk Hamzah.
Beliau juga semakin lantang bersuara sejak dikenakan hukuman penggantungan keanggotaan selama sepenggal. Selain Wan Ahmad Fayhsal, ada lima pemimpin Bersatu – termasuk seorang di peringkat pusat – dikenakan hukuman lebih berat iaitu dipecat.
Mereka ialah AP Tasek Gelugor yang pernah diangkat menjadi Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, serta empat pemimpin di peringkat bahagian iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin selepas kontroversi berhubung isu akuan berkanun (SD) yang didakwa dibuat bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin berundur daripada memimpin parti itu serta digantikan oleh tokoh lain.
Dalam program audio siar itu, Wan Fayhsal bagaimanapun tidak menyatakan siapa orang ketiga yang didakwanya “mencucuk” kepimpinan Bersatu agar mengetepikan Datuk Hamzah.
Sementara itu, dalam program sama Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan bahawa PAS juga turut memilih Hamzah untuk menjadi ketua pembangkang apabila PN gagal membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 lalu.
Kata bekas ketua Pemuda Bersatu itu, keputusan menamakan Datuk Hamzah dibuat dalam satu mesyuarat melibatkan para pemimpin PN itu menyebabkan Tan Sri Muhyiddin agak terkejut.
“Saya lihat Tan Sri Muhyiddin agak terkejut kerana Datuk Seri Hamzah ketika itu ialah Setiausaha Agung PN.
“Jadi, PAS pun nampak Datuk Seri Hamzah memainkan peranan yang berkesan untuk menyatukan jentera PAS dan Bersatu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg