Topic followed successfully
Go to BHkuWanita bawa pisau ke festival kontroversi di KL didakwa
Wanita bawa pisau ke festival kontroversi di KL didakwa
Wanita bawa pisau ke festival kontroversi di KL didakwa
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang ditahan kerana membawa pisau ketika menghadiri pesta muzik kontroversi, Rain Rave Water Music Festival 2026, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 2 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam, berkata wanita itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
“Mahkamah pada 4 Mei memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia (hospital psikiatri) di Tanjung Rambutan, Perak, bagi pemeriksaan lanjut selepas disyaki mempunyai masalah mental.
“Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun depan,” katanya melalui satu kenyataan pada 4 Mei, lapor laman web Buletin TV3.
Menurut Encik Sazalee, wanita itu kini ditempatkan di Penjara Kajang, Selangor, bagi tujuan tahanan reman.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita ditahan selepas didapati membawa pisau pada malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang.
Wanita itu dipercayai ditahan orang ramai dan petugas keselamatan di festival berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dalam video yang tular, seorang lelaki dilihat cuba melucutkan senjata dipegang wanita itu yang bertindak kasar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata hanya satu tangkapan melibatkan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun dilakukan sepanjang festival itu berlangsung, selepas dia didapati memiliki senjata berbahaya, iaitu pisau.
Festival berkenaan mencetus kontroversi berikutan penganjurannya dibidas banyak pihak termasuk pihak berkuasa agama, yang menyifatkannya tidak bersesuaian dengan norma dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, mempertahankan penganjuran festival itu dan menggesa semua pihak tidak mempolitikkan penganjurannya yang dikatakan dibuat dengan tujuan membangun ekonomi dan mempromosi pelancongan Malaysia.

