Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita buta kini lebih yakin lakar kejayaan

Jun 24, 2025 | 4:15 PM
MAB, Buta
Hari Usahawan Orang Kurang Upaya Penglihatan 2025 anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) memberi peluang peserta tambah pendapatan. - Foto MAB

Jika dahulu wanita buta sering dikaitkan dengan kehidupan pasif, bergantung kepada ihsan keluarga dan terasing daripada arus perdana masyarakat, kini hakikat itu semakin terhakis.

Dengan akses pendidikan lebih terangkum, kemudahan teknologi serta sokongan komuniti, wanita kurang upaya penglihatan mula bangkit membuktikan kemampuan mereka setaraf masyarakat umum, baik dalam bidang pendidikan mahupun kerjaya.

Eksekutif Kanan Aksesibiliti, Advokasi dan Kebajikan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Cik Siti Huraizah Ruslan, berkata perubahan landskap pendidikan dan teknologi banyak membantu golongan ini berdikari.

“Dulu nak ulang kaji, kami terpaksa bergantung kepada orang lain bacakan nota, tetapi sekarang mereka sudah boleh buat nota sendiri guna komputer riba. Teknologi seperti ini sangat memudahkan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga 2024, terdapat 63,779 individu kurang upaya penglihatan berdaftar di Malaysia, dengan 22,900 daripadanya adalah wanita.

Walaupun dasar Zero Reject Policy membolehkan semua anak orang kurang upaya mendapat pendidikan, Cik Siti Huraizah berkata wujud kekangan di peringkat pelaksanaan, khususnya kekurangan guru berkemahiran untuk mendidik pelajar buta.

“Setiap subjek perlukan pendekatan berbeza, dan bukan semua guru ada kemahiran itu,” katanya.

Cik Siti Huraizah yang juga pemegang sarjana dalam Dasar dan Pengurusan Awam, turut mengakui peluang pekerjaan wanita buta sangat terhad, meskipun ada yang berkelulusan tinggi sehingga ke peringkat sarjana.

“Ramai bekerja tak sepadan kelulusan. Sedangkan mereka bersedia menyumbang tenaga seperti orang lain.

“Apa yang mereka boleh buat, berilah peluang. Yang tak mampu, serahkan pada orang lain,” katanya.

Menurutnya, MAB kini mengambil langkah lebih proaktif dengan melatih wanita kurang upaya dalam bidang keusahawanan, antaranya pembuatan coklat, masakan dan pertanian bandar.

“Kita latih dari awal, termasuk teknik penyimpanan, pembungkusan dan ujian makmal.

“Kalau makanan tak tahan lama, mereka perlu ubahsuai semula. Semua proses ini bertujuan mempersiapkan mereka jadi usahawan yang berdaya saing,” katanya.

Cik Siti Huraizah berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MAB turut menyediakan latihan digital seperti penggunaan Microsoft Word dan Excel serta kursus media sosial, sekali gus memberi pilihan kepada orang kurang upaya penglihatan menjual dalam talian atau menjadi pempengaruh.

“Mereka boleh belajar sendiri tapi akan ambil masa lama. Kalau ada orang ajar, proses itu jadi lebih mudah dan cepat,” katanya.

Namun begitu, masih ramai guru tidak mahir dengan perisian khas seperti ‘screen reader’, yang digunakan sepenuhnya oleh golongan buta dalam mengendalikan komputer tanpa tetikus.

“Kalau digabungkan dengan pelajar kurang upaya lain, pelajar buta pasti tertinggal. Sistem pembelajaran terangkum mesti disesuaikan, bukan disama ratakan,” katanya.

Menurutnya, stigma dan diskriminasi sosial sering menjadi beban emosi kepada wanita buta, apatah lagi jika tiada asas keyakinan diri.

“Ada kes berhenti kerja kerana rasa rendah diri. Bila masyarakat tidak menerima, mereka rasa lemah dan malu dengan keadaan diri sendiri,” katanya.

Sokongan masyarakat, katanya, amat penting untuk mengubah persepsi negatif ini.

“Ada yang tak mahu beli makanan hasil jualan orang buta kerana sangsi dengan kebersihan. Sedangkan sebelum dijual, produk perlu melalui proses tertentu untuk dapat kelulusan,” katanya.

Pada masa sama, Cik Siti Huraziah menggesa masyarakat lebih peka dan berhemah ketika berinteraksi dengan golongan orang buta, khususnya wanita agar tidak menjejaskan maruah dan keyakinan diri mereka.

Sebagai aktivis wanita cacat penglihatan, beliau menegaskan pentingnya penggunaan bahasa yang sopan dan beradab ketika berkomunikasi atau memberi bantuan kepada golongan itu.

“Jangan sekali-kali menjerit ‘tepi, orang buta nak lalu’. Itu memalukan. Sebaliknya, gunakan frasa lebih berhemah seperti; ‘Tepi sikit ya, kakak tak nampak’.

“Cara kita bercakap memberi kesan besar kepada emosi dan harga diri mereka,” katanya.

Menurutnya, masih ramai yang tidak memahami cara yang betul untuk membantu golongan buta.

Contohnya, menarik atau memegang tangan mereka secara langsung adalah tindakan yang tidak sesuai.

“Cara yang betul adalah menawarkan tangan kita dan membiarkan mereka yang memegang lengan kita, bukan sebaliknya,” jelasnya.

Beliau turut menekankan, sokongan terhadap wanita buta tidak seharusnya dibebankan kepada NGO semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak.

“Semua pihak termasuk masyarakat umum, agensi kerajaan dan kementerian perlu memainkan peranan.

“Hanya dengan pendekatan menyeluruh, wanita buta dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam masyarakat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg