Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 30 Mei atas dua pertuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja perempuan pada 2024.
Tertuduh, Haliza Palok, 55 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan kanak-kanak lelaki berusia antara 10 dengan 12 tahun dan remaja perempuan berusia antara 13 dengan 15 tahun dengan mengeksploitasi mereka bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5(1)(c) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Bagi perbuatan yang dilakukan di Jalan Kargo 2, Senai Airport City, Senai, Johor Bahru, pada 6.54 petang,19 Disember 2024, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Tan Yen Thung, manakala peguam, Encik Amarpreet Singh Rajwinder Singh, mewakili tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat Imigresen Johor setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 27 Ogos depan bagi serahan dokumen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg