Topic followed successfully
Go to BHkuWanita isi petrol subsidi guna tangki ubah suai ditahan di Kelantan
Wanita isi petrol subsidi guna tangki ubah suai ditahan di Kelantan
Wanita isi petrol subsidi guna tangki ubah suai ditahan di Kelantan
TUMPAT (Kelantan): Padah mengisi petrol bersubsidi berulang kali, seorang wanita berusia 59 tahun ditahan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Chabang Empat, Tumpat, Kelantan, pada 4 Mei.
Penahanan sekitar 7.05 pagi itu dilakukan melalui ‘Ops Tiris 4.0 Bersepadu’ bersama Pasukan Polis Marin, sebagai langkah membanteras penyelewengan dan penyeludupan petrol bersubsidi.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Encik Aswadi Jaafar, berkata wanita itu dikesan mengisi petrol berulang kali di sebuah stesen minyak di Chabang Empat sebelum ditahan.
“Pemeriksaan pada kenderaan jenis Perodua Kenari itu mendedahkan ia telah diubah suai dengan tangki khas untuk menyimpan petrol.
“Kami turut menyita 50 liter petrol yang disedut keluar dari tangki ubah suai berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada 5 Mei, lapor Harian Metro.
Nilai keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan dan petrol, dianggar melebihi RM5,000 ($1,612).
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“KPDN Kelantan memberi amaran keras, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya di kawasan sempadan,” tegasnya.
Sementara itu, di Kuantan, Pahang, KPDN menyerbu sebuah premis yang disyaki menyimpan diesel tanpa lesen sah di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, dengan rampasan dianggar bernilai RM355,000.
Serbuan itu dijalankan pada 12.30 tengah hari 4 Mei, oleh sepasukan pegawai KPDN Pahang menerusi ‘Op Tiris 4.0’, selepas risikan sehari sebelumnya.
Pengarahnya, Encik Jezlily Jamaluddin, berkata siasatan mendapati premis itu digunakan sebagai tempat penyimpanan diesel tanpa lesen atau kelulusan sah daripada Pengawal Bekalan, dengan kira-kira 59,000 liter diesel disita dari lima tangki dan sebuah lori tangki industri.
“Siasatan mendedahkan premis itu menggunakan diesel untuk operasi loji, namun, gagal mengemukakan permit khas bagi penyimpanan melebihi 20 liter,” katanya.
Di bawah peruntukan undang-undang itu, syarikat terbabit boleh didenda sehingga RM2 juta, meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berulang, manakala individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

