KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dikehendaki polis Malaysia berhubung penipuan jualan emas melibatkan kerugian jutaan ringgit ditahan pada 22 Oktober.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, suspek, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang,
Dia ditahan sebaik sahaja tiba di Malaysia dari Dubai.
“Suspek direman di Mahkamah Alor Setar hari ini (23 Oktober) bagi membantu siasatan,” kata Datuk Ramli, lapor Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta ($33.4 juta) selepas terpedaya oleh helah emas 916 berharga lebih rendah daripada pasaran oleh Siti Hajartul Haini sejak dua bulan lalu.
Kebanyakan mangsa, yang bekerja di sebuah unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang dan menjadi guru di beberapa negeri, kini diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang berkenaan.
Sama seperti ‘skim kutu’ yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan pada harga murah hingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara-mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata untuk merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.
Polis menerima 35 laporan ke atas Siti Hajartul Haini, kata Datuk Ramli. Laporan polis itu membabitkan lapan negeri, terbanyak di Kedah iaitu 18.
“Mereka terdiri 21 orang kakitangan kerajaan, sembilan pekerja swasta dan lima orang bekerja sendiri,” katanya.
Melalui siasatan yang dijalankan, suspek dikatakan menjual barang kemas pada harga lebih rendah daripada pasaran semasa, iaitu sekitar RM150 hingga RM200 bagi satu gram emas, lapor Berita Harian Malaysia.
Pembeli, bagaimanapun, perlu menunggu beberapa minggu sebelum barang kemas tersebut diperoleh.
Pada awalnya, pembeli menerima barang kemas yang dijanjikan dan ia mengakibatkan mereka yakin akan tawaran yang dibuat.
Bagaimanapun mulai Julai, pembeli tidak menerima barang kemas yang ditempah dan suspek gagal dihubungi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg