Setelah mendirikan bahtera rumah tangga dengan sang suami selama tujuh tahun, seorang wanita kemudian dapat tahu suaminya itu sebenarnya penghidap austime.
Semua kekeliruan dan salah faham kini terlerai apabila doktor mengesahkan suami kepada Cik Noor Hasnita Rosli, 33 tahun, didiagnos dengan autisme.
Antara soalan berat Cik Hasnita perlu jawab adalah apakah beliau pasti “nak teruskan perkahwinan ini?”
Ketika detik itu, Cik Hasnita pasrah dengan ketentuan Allah dan memilih untuk bersama suaminya, Encik Mohammad Azhar, 33 tahun, yang dikenalinya sejak 2014 melalui wadah media sosial. Mereka bertunang pada 2015 dan bernikah pada 2016.
“Sewaktu mengenalinya, pada mata kasar, dia seorang yang sangat baik, dan pendiam. Mengikut kata, dan ciri-cirinya buat saya fikir, dia seorang yang pemalu atau introvert, tetapi setelah berkahwin baru saya tahu perkara sebenar,” kata Cik Hasnita dalam temu bual dengan wartawan Berita Harian (BH).
Pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata dan mereka menjalankan bisnes hawa dingin bersama sejak 2017. Encik Azhar mempunyai ijazah Diploma dalam Kejuruteraan Elektronik dan Cik Hasnita mempunyai ijazah Diploma dalam Pentadbiran Awam.
Cik Hasnita berkongsi tentang kehidupannya bersama suami setelah mendapat tahu tentang isu yang dialaminya. Menurut Cik Hasnita, beliau berkongsikan kehidupan harian bersama suami untuk berkongsi situasi yang dihadapinya dan juga sebagai latihan untuk membiasakan suaminya berkomunikasi.
Video-video yang dimuat naik Cik Hasnita di TikToknya mendapat sambutan yang baik, dan mencapai sehingga 2.2 juta penonton.
“Dalam tujuh tahun bersamanya banyak yang saya tak faham kenapa benda senang, dia tak dapat faham, atau tak boleh buat. Cabarannya terlalu banyak, sehinggakan memang terlintas di benak fikiran untuk meninggalkannya, tetapi saya masih sayang dia.
“Kalau seorang anak yang kita lahirkan dan jaga selama tujuh tahun, pasti sayang dan tak tergamak untuk melepaskan, begitulah juga saya dengan dirinya. Saya anggap ini ujian dari Allah, dan saya harus harungi,” terang Cik Hasnita dengan nada sebak.
Apabila Encik Azhar diberitahu oleh isterinya tentang saranan doktor untuk berpisah, beliau menjawab dengan nada mendatar:
“Kalau ayang (Sayang) tak ada, abang tak akan ke mana-mana. Abang akan hidup sorang-sorang,” katanya kepada isterinya yang tersayang.
Menurut Cik Hasnita, suaminya telah banyak menunjukkan perkembangan yang baik setelah dilatih, termasuk dari segi komunikasi. Tambahnya lagi, penyakit suaminya itu tidak dikesan sebelum ini kerana kurang kesedaran tentang penyakit ini.
“Doktor kata pada saya, austime ini menyebabkan dia tidak ada kelebihan ‘soft skills’, semua pun saya kena ‘install’ dan latihkan dirinya. Dan kalau saya tak ada, kemungkinan besar, dia akan balik ke sedia kala…”
Setelah berkongsi tentang keadaan suaminya di TikTok, Cik Hasnita berkata ada pengikutnya yang turut ke depan dan berkongsi kisah mereka mengalami keadaan yang sama, dengan pasangan masing-masing.
“Ramai yang masih mencari jawapan untuk menangani austime dewasa, mereka yang melalui nasib yang serupa, saya sarankan supaya isteri ke depan dan mencari jawapan (usaha untuk berjumpa doktor).
“Sekarang suami saya dah boleh bercakap dengan saya dengan lebih baik, dapat bercakap dengan orang, saya dah tak rasa macam hidup seorang lagi,” kata Cik Hasnita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg