Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun sembilan bulan dan enam sebatan rotan kerana merogol gadis berusia 13 tahun yang dikenalinya dalam talian.

Pada 9 Jun, Kevin Tan Jia Hut, 28 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan rogol.

Tiga pertuduhan lain yang serupa turut diambil kira semasa penghukuman.

Tan berusia 25 tahun ketika melakukan kesalahan tersebut.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Nicholas Wuan dan Mavis Ng berkata Tan dan mangsa berkenalan pada Mei 2023 menerusi sebuah platform sidang video dalam talian yang mempertemukan pengguna secara rawak dan tanpa nama untuk perbualan video atau teks secara berdua-duaan.

Perbualan mereka kemudian mula berunsur seksual dan mereka beralih ke Telegram, di mana mereka membincangkan hasrat untuk bertemu bagi melakukan hubungan seks. 

Pada Jun 2023, mereka berdua bertemu pada waktu malam di tangga sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran rumah mangsa, di mana mangsa melakukan perbuatan seksual ke atas Tan.

Mangsa beredar tidak lama kemudian, memberitahu Tan bahawa beliau perlu pulang kerana telah keluar rumah secara senyap-senyap.

Sebulan kemudian, ketika Tan sedang menghantar pesanan kepada mangsa melalui Telegram, mangsa memberitahunya bahawa beliau ingin melakukan hubungan seks.

Memandangkan ibu dan kakak Tan sedang berada di luar negara ketika itu, Tan menempah teksi untuk membawa mangsa ke rumahnya.

Selepas mereka melakukan hubungan seks di bilik Tan, dia menempah teksi lain untuk menghantar mangsa pulang ke rumah.

Dua hari kemudian, ibu mangsa membuat laporan polis yang menyatakan bahawa anaknya baru mendedahkan bahawa beliau telah dirogol.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan apa yang mendorong mangsa memberitahu ibunya perkara tersebut.

Mangsa kemudian memaklumkan polis bahawa beliau pernah terlibat dalam perbuatan seksual dengan beberapa orang lelaki.

Melalui siasatan, polis mengesahkan bahawa Tan adalah antara lelaki tersebut dan menangkapnya pada 10 Ogos 2023.

Para DPP memohon hukuman penjara antara sembilan hingga sembilan tahun enam bulan serta enam sebatan rotan, dengan menegaskan bahawa perbuatan Tan bukanlah sekadar “kesilapan anak muda.”

“Hukuman yang dijatuhkan mestilah mencerminkan pertimbangan utama penghukuman, iaitu pencegahan,” kata DPP tersebut.

Sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur 14 tahun, sama ada dengan atau tanpa persetujuannya, boleh disabitkan dengan kesalahan rogol dan dipenjarakan sehingga 20 tahun, didenda atau dirotan.