KUALA LUMPUR: Kecenderungan pembeli hartanah dari Singapura dan China telah melonjakkan permintaan terhadap sektor hartanah kediaman mewah di Johor.
Menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), situasi itu menyaksikan pembangunan hartanah berharga antara RM700,000 ($21,0361) dengan RM1 juta berkembang pesat di Johor, berbanding negeri lain di Malaysia.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Johor, Cik Lindy Tan, berkata kebanyakan pembeli hartanah berkenaan adalah dalam kalangan warga tempatan, namun turut mendapat permintaan tinggi pembeli dari Singapura dan China yang mencari hartanah mewah untuk pelaburan.
“Dasar seperti program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) juga menarik pelabur asing,” katanya, lapor The Star.
Menurut angka Napic, bilangan urus niaga untuk hartanah kediaman berharga antara RM700,001 dengan RM800,000 di Johor meningkat 44 peratus pada suku ketiga 2024, berbanding tempoh sama 2023.
Peningkatan kedua terbesar iaitu 43 peratus adalah untuk rumah berharga daripada RM900,001 dan RM1 juta, diikuti rumah dalam kategori RM800,001 hingga RM900,000 yang menyaksikan penjualan meningkat 38 peratus.
Justeru kata Cik Tan, pasaran hartanah Johor, terutama dalam segmen mewah, berkemungkinan menyaksikan kenaikan harga dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan permintaan dan perkembangan ekonomi yang strategik.
Jelasnya, faktor utama yang mendorong permintaan hartanah di Johor termasuk kemudahan Sistem Transit Laju (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, pengumuman Johor sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) dan jangkaan pemeteraian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Disember.
“Terdapat lonjakan ketara, terutama di kawasan berhampiran stesen RTS, kerana RTS akan menambah baik perjalanan rentas sempadan ke Singapura dan meningkatkan daya tarikan Johor untuk penumpang.
“SFZ di Iskandar Malaysia pula menawarkan insentif untuk menarik pelabur asing dan pekerja mahir, manakala JS-SEZ menggalakkan kerjasama ekonomi dengan Singapura, menggalakkan perniagaan dan penciptaan pekerjaan,” kata Cik Tan.
Secara keseluruhan, majoriti hartanah yang dijual di Johor adalah di Johor Bahru – merangkumi 61 peratus daripada jumlah urus niaga hartanah kediaman pada suku ketiga 2024.
Lokasi kedua paling popular ialah Kulai (1,044 rumah terjual); diikuti Batu Pahat (966 rumah); dan Kluang (730 rumah).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg