Usaha luas Malaysia untuk menjadikan Forest City – sebuah projek hartanah pelbagai guna berbilion dolar di Johor – sebagai zon kewangan khas (SFZ) boleh menjadi alternatif baik bagi perniagaan dan pelabur Singapura yang ingin menubuhkan kegiatan kos rendah, kata para penganalisis.
Mereka juga berkata SFZ baru itu boleh menjadi hab alternatif bagi pejabat keluarga, dengan insentif kos dan cukai lebih rendah. Pejabat keluarga adalah pertubuhan privet yang ditubuhkan untuk mengurus kemewahan satu atau beberapa keluarga.
Diumumkan oleh Menteri Kewangan II Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 20 September, SFZ itu akan menawarkan insentif kadar cukai sifar bagi pejabat keluarga, yang akan berkuat kuasa pada suku pertama 2025.
Pemerhati percaya langkah itu akan menjadikan Forest City sebuah destinasi menarik bagi menguruskan kekayaan keluarga, terutama sedang bilangan pejabat keluarga di Asia semakin bertambah dengan kekayaan yang meningkat di rantau ini.
Selain itu, SFZ akan menawarkan pelepasan cukai dan insentif strategik untuk menarik pelabur dan syarikat.
Rancangan tersebut bertujuan memanfaatkan kedudukan Malaysia yang dekat dengan hab kewangan utama seperti Singapura, menjadikan Forest City sebuah pusat serantau bagi khidmat pengurusan kekayaan dan kewangan.
Ketua Kajian Forex Pasaran Global Kumpulan Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata insentif baru yang diumumkan itu menggalak dan boleh menarik beberapa pejabat keluarga dan juga individu kaya.
“Masih terlalu awal untuk menilai apakah kesannya (ke atas Singapura sebagai hab kewangan dan perniagaan) dan apakah ia dapat menarik ramai individu kaya, institusi kewangan serantau dan sebagainya.
“(Namun) Buat masa ini, ia boleh membantu menyerap beberapa pejabat keluarga global dan menjadi hab alternatif untuk pejabat keluarga dengan insentif kos dan persekitaran cukai lebih rendah, dan pada masa sama boleh diakses Singapura,” kata beliau.
KESAN KE ATAS SINGAPURA
Forest City, sebuah pembangunan bernilai AS$100 bilion ($131.5 bilion) merangkumi empat pulau buatan di Selat Johor dan direka untuk menampung sekitar 700,000 penduduk menjelang 2035, menghadapi cabaran dari segi mendapat daya tarikan, meskipun projek tersebut digembar-gemburkan pada awalnya.
Hanya 1 peratus pembangunan itu kini diduduki penduduk dan perniagaan.
Dalam usaha menjadikan ia destinasi menarik, SFZ akan menawarkan kadar cukai korporat sifar hingga 5 peratus.
Di samping itu, kadar cukai pendapatan individu khas 15 peratus bagi pekerja pakar (knowledge workers) dan rakyat Malaysia yang bekerja di Forest City akan ditawarkan, untuk memberi insentif kepada perniagaan bertapak di situ dan memupuk kepakaran tempatan.
Sementara itu, pengendali sistem teknologi kewangan dan pembayaran asing pula akan menikmati kadar cukai 5 peratus, yang bertujuan merangsang pelaburan dan inovasi sedang rantau itu berkembang menjadi hab teknologi kewangan.
Dalam satu laporan The Business Times, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Singapore, Encik Alvin Lee, berkata bahawa dengan jumlah pejabat keluarga yang meningkat di Asia, Forest City kini dalam kedudukan kukuh untuk menjadi antara destinasi teratas bagi individu yang mempunyai nilai bersih tinggi dan pelabur institusi.
Menurut laporan Deloitte Private, terdapat sekitar 8,030 pejabat keluarga tunggal di dunia hari ini dan jumlah itu diramal tumbuh kepada lebih 10,720 menjelang 2030, dengan aset di bawah pengurusan dijangka meningkat daripada AS$3.1 trilion kepada AS$5.4 trilion.
Encik Saktiandi berkata ia akan mengambil masa bertahun sebelum ekosistem SFZ itu menjadi matang dan pelabur awal boleh mendapat manfaat.
Dengan pengumuman SEZ Johor-Singapura, SFZ terbaru itu boleh menarik pelabur antarabangsa, dan sekiranya usaha untuk menjadi hab kewangan kompetitif itu berjaya, ia boleh memberi kesan kepada Singapura, tambah beliau.
“Bagaimanapun, ia juga boleh menyediakan peluang kepada pelabur Singapura kerana ia membolehkan sebahagian perniagaan Singapura dan institusi kewangan mendapatkan kos lebih murah,” katanya.
Encik Saktiandi juga menekankan kepentingan mempunyai rangka kerja kawal selia kukuh dan usaha menarik bakat terbaik.
Encik Azmoon Ahmad, seorang pemerhati ekonomi yang juga mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), bagaimanapun tidak yakin SFZ itu akan menjadi “besi berani” yang dapat menarik pejabat keluarga.
Ini memandangkan pertimbangan utama pejabat keluarga adalah perlindungan modal, dan Singapura mempunyai asas yang amat kukuh dalam faktor itu, kata beliau, yang juga mantan naib presiden kanan, Desay SV Automotive.
Encik Azmoon menambah bahawa Singapura juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu hab kewangan global, yang bersaing dengan Hong Kong, Shanghai dan Sydney.
Daripada menjadikan Forest City sebuah hab kewangan, beliau sebaliknya menyarankan agar kawasan itu dijadikan sebuah hab perindustrian yang boleh dijalankan dengan berjaya seiring Singapura sebagai hab kewangan.
“Ini akan membawa kepada senario yang memberi keuntungan kepada Johor dan Singapura. Kita (Singapura) mempunyai pelabuhan laut dan lapangan terbang antara yang paling kompetitif, dan ini harus digunakan sebagai tarikan dan Malaysia harus memanfaatkannya,” kata beliau.
PELUANG BAGI PERNIAGAAN SINGAPURA
Encik Azmoon berkata Forest City boleh menjadi besi berani bagi kegiatan perindustrian dan perkilangan rendah kos dan gaji.
Ini merupakan satu kelebihan untuk mereka, tambah beliau, tetapi bukan satu cabaran untuk Singapura kerana negara ini sudah lama beralih kepada operasi dan perkilangan nilai tinggi.
“Ini boleh menjadi alternatif baik buat perniagaan Singapura yang ingin melengkapkan operasinya dengan memulakan kegiatan kos rendah di kawasan Forest City. Oleh itu, ia boleh menjadi perkara yang baik untuk perniagaan Singapura,” kata beliau.
Sementara itu, Encik Saktiandi berkata bagi sesetengah perniagaan Melayu/Islam, khidmat sampingan seperti nasihat kewangan, pengurusan kekayaan, perundangan dan pentadbiran, serta logistik, boleh menyaksikan peluang yang bertambah di SFZ itu.
Ini lebih-lebih lagi dengan keupayaan perniagaan Melayu bertutur bahasa Melayu dan mengemudi peraturan dan kebiasaan dalam dunia perniagaan Malaysia.
“Jika usaha Malaysia memberi nafas baru kepada Forest City dan rantau Johor lebih luas berjaya, akan terdapat lebih banyak peluang bagi bakat berkemahiran dalam bahagian ‘belakang’ dan ‘tengah’ institusi kewangan berpindah ke kawasan itu.
“SFZ baru itu boleh melengkapi Singapura sebagai sebuah hab kewangan serantau dalam rantaian nilai dan juga rantaian nilai ekonomi,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg