Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura didenda RM9,100 rosak kenderaan, ludah muka lelaki di Skudai

Jun 12, 2025 | 3:25 PM
Warga, Singapura, Johor, denda, ludah, rosak kenderaan
Pengurus sumber manusia warga Singapura, Cheng Kuan Poh Colin, didenda Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah merosakkan sebuah kereta serta meludah muka seorang lelaki dalam kejadian di Taman Sutera Utama, Skudai. - Foto KOSMO!

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura didenda RM9,100 ($2,760) oleh Mahkamah Majistret pada 12 Jun selepas mengaku bersalah merosakkan sebuah kereta serta meludah muka seorang lelaki dalam kejadian di Taman Sutera Utama, Skudai, pada 7 Jun lalu.

Tertuduh, Cheng Kuan Poh Colin, 40 tahun, dikenakan hukuman itu selepas dua tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan.

Berdasarkan tuduhan pertama, Cheng didakwa dengan sengaja menyebabkan kerosakan harta benda, iaitu sebuah kereta BMW milik Encik Ng Yeow Meng, 32 tahun.

Dalam tuduhan kedua, Cheng didakwa mengaibkan kehormatan Encik Ng dengan meludah ke mukanya bertujuan mengganggu kesantunan mangsa.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Sutera Tanjung 8/4, Taman Sutera Utama, Skudai, pada 2.39 petang, pada 7 Jun, lapor Kosmo!.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Cik Norfarahin Mohd Yazid, memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini.

“Tertuduh bekerja sebagai pengurus sumber manusia dengan pendapatan bulanan sebanyak $2,000. Dia juga bertanggungjawab menyara kedua-dua ibu bapanya yang sudah uzur,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Balveer Singh Mahindar Singh, dilaporkan berkata tertuduh ditahan selepas dipercayai menendang kereta jenis BMW milik mangsa dalam satu pertikaian di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Sutera Utama.

Tertuduh dikatakan membunyikan hon beberapa kali terhadap mangsa yang sedang memandu kereta kerana mendakwa laluan jalan dihalang.

Tertuduh kemudian bertindak keluar daripada keretanya dan menendang kenderaan mangsa, menyebabkan kerosakan.

Kejadian itu dirakam dan dimuat naik ke Facebook oleh seorang pengguna dengan akaun Cik Vicky Sing, sekali gus tular di media sosial.

“Bertindak atas laporan diterima pada hari sama, polis menahan suspek sekitar 6.20 petang pada 8 Jun di Johor Bahru serta merampas beberapa barang bagi membantu siasatan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg