Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura gesa sistem VEP M’sia diperbaiki, adu proses tidak mesra pengguna

Ada yang perlu ulang-alik beberapa kali atau tunggu berjam-jam untuk selesaikan urusan dokumentasi
Jun 10, 2025 | 1:43 PM
VEP, pemandu S’pura, aduan
Warga Singapura yang beratur di luar pejabat pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beberapa warga Singapura meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan dan kekeliruan dalam sistem pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP), serta menggesa kerajaan Malaysia memperbaiki sistem sedia ada agar lebih mesra pengguna dan lancar.

Tinjauan di pusat pendaftaran VEP TCSens di Danga Bay, Johor Bahru, mendapati ramai pemohon terpaksa berulang-alik ke lokasi itu beberapa kali atau menunggu berjam-jam untuk menyelesaikan urusan dokumentasi sebelum tarikh penguatkuasaan penuh permit tersebut bermula 1 Julai nanti.

Syarikat TCSens adalah pengendali swasta yang dilantik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membantu pemandu berhubung keperluan VEP, daripada cara memohon permit itu kepada panduan memaparkan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) pada kereta mereka.

Seorang pekerja sektor perkapalan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Anwar, 49 tahun, berkata beliau datang ke pusat berkenaan untuk kali kedua namun masih belum menerima permit VEP bagi kenderaannya.

“Saya sudah diingatkan oleh rakan-rakan supaya bersedia dari segi mental kerana proses ini sangat leceh.

“Kerajaan Malaysia sepatutnya mencontohi sistem Autopass di Singapura, yang jauh lebih mudah dan telus. Saya sudah beberapa kali cuba memohon secara dalam talian tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas,” katanya ketika ditemui pada 10 Jun.

Encik Anwar turut mengadu bahawa sistem dalam talian sering gagal memuat naik dokumen penting, menyebabkan beliau terpaksa mengambil cuti kerja selama seminggu untuk menyelesaikan permohonan.

“Saya hanya berharap kerajaan Malaysia tidak membuat pusingan-U seperti tahun 2024. Kalau hendak kuat kuasa, pastikan ia betul-betul dilaksanakan,” katanya.

Bagi seorang pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Encik Rahmat, 66 tahun, beliau mendakwa terpaksa berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura sebanyak lapan kali hanya untuk melengkapkan dokumentasi permohonannya.

“Sampai lapan kali ulang alik baru lepas. Sistem kurang lancar, kita tak tahu apa salahnya, tahu-tahu sahaja permohonan ditolak. Itu yang buat kami terpaksa datang sendiri,” katanya.

Encik Rahmat berkata penambahbaikan sistem VEP akan memudahkan urusan pengguna serta menjimatkan kos dan masa.

“Kalau nak buat penguatkuasaan penuh, pastikan sistem berfungsi dengan baik dan jangan buat pengumuman saat akhir,” tambahnya.

Seorang lagi warga Singapura, Encik Chandran, 70 tahun, pula berkata beliau menunggu selama enam jam pada 4 Jun untuk menyiapkan pendaftaran VEP di Danga Bay.

“Saya puji kerana sekarang ada kakitangan yang bantu dari awal hingga akhir. Tapi setiap pelanggan ambil masa sekitar 30 minit, jadi kalau nombor giliran besar, memang kena tunggu lama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa lokasi pejabat pendaftaran dan pengambilan tag VEP/RFID yang berasingan turut menyumbang kepada kekeliruan.

“Ada dua lokasi... satu di hadapan lebuhraya Skudai, satu lagi di blok belakang dekat Tune Hotel. Ramai warga Singapura keliru,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata semua pemilik kenderaan Singapura yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP akan dikenakan saman sebanyak RM300 ($91) mulai 1 Julai.

Beliau menjelaskan bahawa penguatkuasaan penuh itu penting bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang oleh kenderaan asing yang memasuki negara itu.

“Pelaksanaan VEP secara berperingkat telah bermula sejak 1 Oktober 2024 melalui pendekatan advokasi dan notis peringatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg