Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura korban nahas jalan raya di Linkedua

Jul 17, 2025 | 6:57 PM
kemalangan, meninggal dunia, Tuas, Linkedua, haritsa zaihan, warga s’pura
Allahyarham Haritsa Zaihan baru sahaja membina mahligainya bersama Cik Miza Amira Ismail. Malangnya beliau maut akibat nahas jalan raya di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada pagi 16 Julai semasa menuju ke Singapura.  - Foto ihsan MIZA AMIRA ISMAIL

Hanya enam bulan mereka melayari kehidupan sebagai suami isteri.

Dalam tempoh itu, Cik Miza Amira Ismail, 31 tahun, telah kehilangan dua insan yang paling dekat di hatinya.

Kandungan pertamanya gugur pada April lalu dan kini suami tercinta, Allahyarham Haritsa Zaihan, juga 31 tahun, pula maut dalam kemalangan jalan raya pada pagi 16 Julai ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Singkat sangat kehidupan kami bersama... Saya mengalami keguguran pada bulan ketiga selepas kami berumah tangga. Tiada rezeki.

“Kini giliran suami pula pergi buat selama-lamanya. Mungkin suami saya ikut teman anak syurga kami insya-Allah,” kata suri rumah itu yang tidak dapat tahan sebaknya.

Menurutnya suaminya itu meninggal dunia semasa dalam ambulans menuju ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Allahyarham telah tinggal di Gelang Patah bersama isterinya itu, seorang warga Malaysia, sejak membina mahligainya pada 28 Disember 2024.

Allahyarham Haritsa yang merupakan seorang warga Singapura, sudah biasa menunggang motosikal ulang-alik dari rumah mereka di Gelang Patah ke tempat kerjanya di Singapura setiap hari.

Beliau bekerja sebagai seorang pegawai di gudang logistik yang terletak di Kampong Bahru, Telok Blangah,  sementara Cik Miza seorang suri rumah.

Namun pagi 16 Julai itu merupakan perjalanan terakhirnya.

Menurut rakan baiknya, Syed Muhammad Hanafiah Syed Omar Almashore, nahas itu dipercayai berlaku antara 8 hingga 8.30 pagi di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Tuas, selepas pusat pemeriksaan Malaysia, menuju ke Singapura.

Memandangkan kawasan kemalangan masih dalam daerah Johor Bahru, kes itu ditangani polis Malaysia.

Sejauh ini, butiran lengkap kemalangan masih belum disahkan.

Syed Muhammad Hanafiah mendakwa bahawa nahas itu melibatkan sebuah bas dengan motosikal rakannya itu, tapi kini masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Balai Polis Iskandar Puteri untuk mendapatkan maklumat lanjut, namun dimaklumkan bahawa kes masih dalam siasatan dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan sejauh ini.

Allahyarham Haritsa Zaihan (kanan, diri) bersama isterinya Cik Miza Amira Ismail (depan, kanan) telah mendirikan rumahtangga pada Disember 2024. Mereka bergambar bersama keluarga Allahyarham di Singapura baru-baru ini.
Allahyarham Haritsa Zaihan (kanan, diri) bersama isterinya Cik Miza Amira Ismail (depan, kanan) telah mendirikan rumahtangga pada Disember 2024. Mereka bergambar bersama keluarga Allahyarham di Singapura baru-baru ini. - Foto ihsan MIZA AMIRA ISMAIL

Sebagai anak sulung daripada enam adik-beradik, Allahyarham Haritsa dikenang sebagai insan bertanggungjawab, penyayang dan berpegang teguh pada agama, kata Encik Imanulhassan Zaihan, 26 tahun, adik Allahyarham Haritsa.

“Beliau mengutamakan keluarga, menjaga adik-beradik dan ibu bapa, seorang yang penyayang dan boleh diharapkan.

“Beliau tidak pernah menyusahkan orang lain,” singkap Encik Imanulhassan, anak ketiga daripada enam adik-beradik itu kepada BH.

Walaupun tinggal di Johor Bahru, Allahyarham kerap berjumpa dengan keluarganya di Singapura, katanya lagi.

“Cita-citanya bukan mengejar kemewahan, tetapi untuk memastikan ibu bapa dan adik-beradik hidup selesa.

“Abang seorang yang ikhlas, tegas tapi pandai menghiburkan hati orang lain.

“Beliau antara orang yang paling kami rindu hari ini,” tambah Encik Imanulhassan.

Bapa arwah, Encik Zaihan Sudar, 60 tahun, turut berkongsi bahawa anaknya pandai membaca Al-Quran dan pernah menjadi noja serta imam sambilan di Masjid Firdaus dekat Choa Chu Kang.

Berkongsi kenangan manis bersama rakan baiknya itu, Syed Muhammad Hanafiah berkata dengan nada sebak:

“Kenangan paling manis saya dengan beliau ialah saat kami uruskan perkahwinannya bersama.

“Beliau sangat bersungguh dan ikhlas. Allahyarham pernah bercakap dengan saya bahawa beliau berharap, satu hari nanti kisahnya akan masuk akhbar.

“Cuma, bukanlah begini caranya.”

Pihak keluarga kini merayu kepada orang ramai, khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan Laluan Kedua dekat Tuas antara 8 hingga 8.30 pagi pada 16 Julai, untuk tampil membantu jika mempunyai sebarang maklumat atau rakaman kamera.

Jenazah selamat dikebumikan pada 16 Julai selepas maghrib di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor Kampung Sungai Danga, di Johor Bahru.

“Kami cuma mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Kalau ada saksi yang terlihat atau ada rakaman, kami akan menghargai pertolongannya,” ujar Cik Miza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg