Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adik-beradik temu kembali selepas 18 tahun terpisah

Kali terakhir mereka bersama adalah sekitar 18 tahun lalu semasa urus unit rumah arwah bapa
Jul 11, 2025 | 4:23 PM
adik beradik, bertemu
Empat adik-beradik – daripada dua perkahwinan ayah mereka – akhirnya berjumpa dan bersatu kembali setelah acara kejutan makan malam bersama di Pusat Makanan Newton pada 29 Jun 2025. Perancang utama ialah Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak (atas), yang bersama Encik Nor Alam Shar Abdul Razak (kanan), Cik Siti Muzdarlifah Abdul Razak (bawah) dan Encik Rashid Osman Abdul Razak (kiri). - Foto ihsan MUHAMAD IQBAL ABDUL RAZAK

Setelah 18 tahun terpisah, hubungan darah tetap kekal, bak kata pepatah air dicencang tiada putus.

Apa yang pada mulanya dirancang sebagai jamuan makan malam biasa pada 29 Jun, akhirnya menjadi detik penuh makna bagi Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak, atau lebih dikenali sebagai Danny OneStar di media sosial.

Pencipta kandungan sepenuh masa berusia 37 tahun itu terpisah daripada abang dan kakaknya sejak kecil.

View post on TikTok

Arwah bapa mereka telah berkahwin dua kali.

Anak daripada perkahwinan pertama ialah Encik Nor Alam Shar Abduk Razak, 44 tahun, dan Cik Siti Muzdarlifah Abdul Razak, 42 tahun, manakala Encik Iqbal dan adik bongsunya, Encik Rashid Osman Abdul Razak, 35 tahun, adalah hasil daripada perkahwinan kedua.

“Kami memang terpisah sejak kecil. Tetapi saya masih berhubung dengan abang saya, kadang-kadang dengan kakak. Tapi adik saya tak kenal mereka sangat. Saya kira macam orang tengah antara mereka,” kata Encik Iqbal kepada Berita Harian.

Kali terakhir kesemua empat beradik itu bersama adalah sekitar 18 tahun lalu semasa menguruskan unit perumahan arwah bapanya, yang membolehkan mereka berjumpa secara singkat sahaja.

Kejutan apabila adik bongsu juga hadir ke jamuan makan malam dan berpelukan erat bersama kakaknya.
Kejutan apabila adik bongsu juga hadir ke jamuan makan malam dan berpelukan erat bersama kakaknya. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK DANNY ONE STAR

Walaupun Encik Iqbal masih berhubung dengan abang dan kakaknya, hubungan itu tetap renggang.

“Bagi saya kekeluargaan itu penting. Setiap kali saya lihat orang lain rapat dengan abang atau kakak mereka, saya rasa gembira... tapi dalam hati saya tetap berharap satu hari nanti, kami pun boleh rasa begitu,” luah bapa kepada empat anak itu.

Baru-baru ini, impian itu menjadi kenyataan.

Encik Iqbal merancang satu kejutan kecil dengan bantuan isteri dan abang iparnya.

Beliau memberitahu kakaknya bahawa beliau ingin membelanjanya makan ketam di Pusat Makanan Newton.

“Saya ajak abang saya sekali sebab dia pun dah lama tak jumpa kakak saya. Saya ajak, jom kita buat ‘surprise’.

“Tapi yang dia tak tahu, saya juga ajak adik saya, Rashid. Rashid pula tak tahu abang saya ada. Kirakan ‘double surprise’!” cerita Encik Iqbal.

Semuanya dirancang rapi. Isteri Encik Iqbal secara senyap merakam detik kejutan semasa pertemuan semula itu.

Rakaman itu memaparkan pelukan erat, ekspresi terkejut, dan air mata gembira.

Detik itu amat menyentuh hati terutama bagi Encik Rashid dan Cik Siti yang tidak rapat berbanding adik-beradik lain.

Antara lain, penyatuan empat adik-beradik setelah 18 tahun itu adalah satu kenangan yang Encik Iqbal tidak akan lupakan.

“Kami dibesarkan dalam suasana berbeza. Jadi, secara jujurnya kami rasa macam orang asing.

“Orang lain ada kenangan bergaduh, bergurau, saling melindungi. Kami tak ada semua itu.

“Tapi saya rasa bila kita dah dewasa, pemikiran pun makin matang. Perasaan canggung itu perlahan-lahan hilang,” katanya.

Encik Iqbal turut memuatnaikkan video itu ke media sosial.

Tanpa disangka, video itu tular di TikTok dan Facebook dan ia meraih lebih 300,000 tontonan dan 16,000 tanda suka atau ‘like’.

Ramai netizen berkongsi rasa sebak melihat pertemuan adik-beradik itu, dan memuji usaha Encik Iqbal menyatukan kembali keluarganya.

Seorang pengguna Facebook, ‘Bonda Haniz’ berkata: “Turut terasa sebak bila melihat akan setiap sambutan dakapan. Mencerminkan eratnya ikatan persaudaraan. Semoga kekal teguh ukhwah hingga ke Jannah, amin.

Satu lagi pengguna di TikTok,’nurlyul’ meninggalkan komen: “Terima kasih kerana jadi yang lebih matang dan menyatukan semula adik-beradik. (Tempoh) 18 tahun memang lama! Tumpang gembira untuk kamu dan adik-beradik.

Encik Iqbal berkata tujuan utama beliau memuatnaikkan video itu adalah agar ia menjadi motivasi supaya bagi mereka yang menghadapi keadaan serupa untuk tidak berputus asa.

“Kita semua sibuk dengan kerja, kawan, urusan harian. Tapi pada akhirnya, tak ada yang lebih penting daripada keluarga.

“Ia tidak terlambat untuk menyatukan semula keluarga. Jangan putus asa, insya-Allah, ada jalannya,” nasihat beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg