Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura sanggup beratur awal pagi lengkapkan pendaftaran VEP

Jun 14, 2025 | 5:30 AM
 Paradigm Mall, rfid, tag
Warga Singapura menunggu giliran mereka bagi proses pemasangan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) buat kenderaan mereka di Paradigm Mall, Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Berbaki dua minggu sebelum pelaksanaan penuh Permit Masuk Kenderaan (VEP), masih terdapat ramai warga Singapura yang kelihatan gigih beratur seawal 7 pagi di pusat pendaftaran VEP di Danga Bay, Johor Bahru – mencerminkan kebimbangan serta keperluan mendesak untuk melengkapkan pendaftaran sebelum tarikh akhir 1 Julai 2025.

Meskipun cuaca panas dan tempoh menunggu yang panjang, rata-rata pemilik kenderaan Singapura itu dilihat sanggup menunggu selama berjam-jam bagi memastikan mereka tidak berdepan tindakan undang-undang sebaik penguatkuasaan penuh VEP dikuatkuasakan di semua pintu masuk sempadan darat Malaysia-Singapura pada tarikh tersebut.

Bagi pemilik gerai makanan, Encik Sabaruddin Tri Putra Sjafril, 42 tahun, proses permohonan VEP bukan sahaja mengambil masa panjang, malah membebankan pemilik kenderaan terpakai.

“Saya sudah tunggu hampir setahun untuk dapatkan tag VEP.

“Prosesnya terlalu rumit, terutama bagi pemilik kedua kenderaan. Sistem tidak mesra pengguna dan tiada maklum balas jelas daripada pihak berkuasa,” ujarnya yang berharap tempoh pelaksanaan penuh VEP akan dilanjutkan sehingga hujung 2025.

Menurut beliau, ramai pemilik kenderaan terpakai dari Singapura terpaksa melalui proses nyahdaftar (deregister) dan daftar semula VEP kerana tag sedia ada masih tertakluk kepada pemilik asal.

“Ramai yang masih belum dapat VEP walaupun dokumen semua sudah lengkap.

“Ada juga permohonan yang tergantung berbulan-bulan – sampai kereta pun hampir jadi besi buruk,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Seorang lagi pemohon yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Jason, 40 tahun, pula berkata beliau telah terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Johor Bahru bagi mencuba menyelesaikan proses pendaftaran VEP.

“Ini merupakan kali ketiga saya datang ke Danga Bay hanya kerana pengenalan frekuensi radio (RFID) saya tidak berfungsi; palang tidak naik secara automatik dan saya terpaksa guna kad secara fizikal.

“Tiada penjelasan, hanya disuruh cuba lagi. Ini sangat memenatkan dan membazir masa,” kongsi beliau.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, dalam kenyataan pada 4 Jun mengingatkan bahawa pemilik kenderaan berdaftar Singapura yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP mereka akan dikenakan denda RM300 ($91) mulai 1 Julai 2025.

Pelaksanaan VEP secara berperingkat telah bermula sejak 1 Oktober 2024 menerusi pendekatan advokasi (nasihat), termasuk pengeluaran Notis Peringatan kepada pemilik kenderaan yang belum berdaftar.

Encik Loke menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan penuh itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan undang-undang melibatkan kenderaan asing yang masuk ke Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Encik Azmil Zainal Adnan, berkata kenderaan dari Singapura yang belum mempunyai VEP tidak akan diarah berpatah balik di pusat pemeriksaan darat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Namun, pemiliknya tetap akan dikenakan denda RM300 dan perlu menjelaskannya sebelum meninggalkan Malaysia.

“Kaunter bayaran akan disediakan di luar pintu keluar Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi memudahkan penyelesaian saman,” jelasnya.

Dengan lebih 231,000 tag RFID VEP sudah dikeluarkan setakat 2 Jun, dan ribuan lagi masih belum disiapkan, ramai warga Singapura berharap agar sistem pendaftaran VEP dapat dipermudahkan dan lebih telus, agar niat untuk mematuhi undang-undang tidak menjadi beban yang membingungkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg