Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warisan P. Ramlee diabadikan melalui calitan berus

May 26, 2025 | 5:22 PM
Kita Punya Cerita’, P. Ramlee
Pameran ‘Kita Punya Cerita’ turut membawa pelbagai karya seperti kartun, lukisan, buku dan cenderahati. - Foto BHM

Pengaruh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dalam landskap seni kreatif negara cukup besar, malah, impak karya tokoh legenda ini – baik lagu atau filem, masih dirasakan sekarang termasuk dalam kalangan generasi baru.

Apabila 42 pelukis termasuk 10 kartunis berhimpun dan berkongsi bakat dalam memberi interprestasi berbeza mengenai Allahyarham P. Ramlee melalui karya sendiri, pelbagai sudut pandang dan idea terserlah, lantas menambahkan lagi sanjungan terhadap tokoh disegani ini.

Itulah yang dapat dilihat pada pameran ‘Kita Punya Cerita’ di Event Space, The Linc KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, bagi membolehkan lebih ramai peminat Allahyarham P. Ramlee melihat sendiri hasil kerja kreatif pelukis dan kartunis terbabit.

Bukan itu sahaja, pada pameran anjuran Tam Maba Studio dengan kerjasama Aqila & Seni ini, pelbagai karikatur dan animasi yang pernah menjadi kegemaran ramai suatu ketika dahulu, dibawa sama, lapor Berita Harian Malaysia.

Penganjur pameran yang juga pemilik Aqila & Seni, Encik Samsudin Harun, berkata sambutan positif pengunjung terhadap pameran ‘Kita Punya Cerita’ mendorong pihaknya meneruskan lagi acara ini pada masa depan.

“Pameran untuk P. Ramlee ini adalah yang kali pertama dianjurkan kami. Insya-Allah, kami akan bawa lagi sebagai acara tahunan.

“Tetapi, tidak semestinya di The Linc ini, mungkin kami akan bawa ke tempat lain juga. Kali ini kita cuba buat berkaitan P. Ramlee pula sebab kebetulan tarikh pemergian beliau pada 29 Mei.

“Jadi, kita ambil peluang ini untuk memperingati beliau,” katanya pada majlis pelancaran lanjutan tempoh pameran itu pada 24 Mei.

Majlis pelancaran turut dihadiri anak kepada bintang tersohor, Allahyarham AR Tompel, iaitu Azman Aman Ramlie, dan cucu Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, Rozaidie Armali.

Pameran ‘Kita Punya Cerita’ dianjurkan sejak 2 Mei lalu.

Mengenai kelancaran acara, Samsudin bersyukur semuanya berjalan baik berikutan sudah mempunyai pengalaman mengendalikan pameran seni.

“Disebabkan kami memang sudah dalam bidang ini, jadi tidaklah begitu susah kerana kebanyakannya kawan-kawan. Macam kami daripada Aqila & Seni memang uruskan ramai pelukis di Malaysia.

“Di bawah kami ada antara 40 dengan 50 pelukis bernaung. Bagi Tam Maba, mereka lebih kepada kartun tetapi di bawah Aqila & Seni, kami tumpu kepada seni visual.

“Daripada segi mendapatkan persetujuan keluarga atau waris seniman ini untuk menganjurkan pameran... Alhamdulillah semuanya mudah,” katanya.

Encik Samsudin berkata pameran ‘Kita Punya Cerita’ memberi peluang kepada peminat mendekati pelukis kegemaran masing-masing, sekali gus memeriahkan industri seni lukisan tanah air.

“Pameran sebegini akan menghimpunkan peminat dan pelukis. Jadi, ini antara cara yang kami cuba ketengahkan dalam industri seni lukisan ini.

“Apabila anjur acara seperti ini, ramai peminat boleh datang berjumpa dengan pelukis kegemaran dengan lebih dekat. Malah, pameran ini dianjurkan secara percuma,” katanya.

Encik Samsudin berkata lukisan yang dipamerkan turut dijual kepada pengunjung dan sebahagian hasil jualan akan dipertimbangkan untuk disalurkan kepada waris P. Ramlee.

“Harga jualan bermula RM150 ($45) hingga RM10,000. Kebanyakan lukisan yang sudah terjual berharga antara RM800 dengan RM3,000. Setakat ini, sentiasa ada pembeli.

“Untuk beri sebahagian hasil jualan kepada waris seniman ini masih belum diputuskan. Tetapi perancangan itu ada sebab kami sediakan tabung untuk memberi bantuan,” katanya.

Pameran ‘Kita Punya Cerita’ turut membawa pelbagai karya seperti kartun, lukisan, buku dan cenderahati.

Selain itu, pameran ini bertujuan menyemarakkan lagi industri seni kreatif untuk tatapan semua generasi yang meminati karya seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg