Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wartawan Malaysiakini mengaku tidak bersalah tuduhan terima rasuah RM20,000

Mar 14, 2025 | 5:32 PM
Wartawan portal berita Malaysiakini, B Nantha Kumar, 42 tahun (kanan) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang warga Pakistan, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 14 Mac.
Wartawan portal berita Malaysiakini, B Nantha Kumar, 42 tahun (kanan) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang warga Pakistan, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 14 Mac. - Foto NSTP

SHAH ALAM (Selangor): Wartawan portal berita Malaysiakini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, di Selangor, pada 14 Mac, atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM20,000 ($6,012) daripada ejen pekerja asing warga Pakistan.

Wang suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik sebarang artikel berkaitan kartel pekerja asing Pakistan di laman web Malaysiakini.

Tertuduh, B Nantha Kumar, 42 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dan memohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Nantha didakwa menerima rasuah RM20,000 daripada warga Pakistan, Encik Muhammad Zahid, sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berkenaan sindiket kartel pekerja asing Pakistan di liputan Malaysiakini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada 11.45 malam. 28 Februari lalu, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), lapor Berita Harian Malaysia.

Jika sabit kesalahan, Nantha boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan yang masih belajar, memohon mahkamah mengurangkan wang ikat jamin, selepas pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 atas alasan Nantha berisiko melarikan diri dan kes berkait jenayah kolar putih.

“Dia seorang wartawan yang pernah memenangi anugerah dan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Umum mengetahui bahawa dia terbabit dalam membantu melumpuhkan sindiket yang mengancam negara.

“Dia mempertaruhkan nyawanya dan ia adalah satu khidmat kepada negara, tetapi malangnya dia diheret ke mahkamah hari ini,” kata Peguam Nantha, Encik Purshotaman Puvanendran yang meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg