Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

XFG varian terkini Covid-19 dikesan di M’sia

Sep 19, 2025 | 3:37 PM
Covid-19, XFG
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan varian baru Covid-19, XFG, daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35/2025, iaitu sehingga 6 September lalu. - Foto BHM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan varian baru Covid-19, XFG, daripada sejumlah 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-35/2025, iaitu sehingga 6 September lalu.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia membabitkan 8.2 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan itu.

Beliau berkata pemantauan genomik yang dijalankan KKM mendapati jangkitan varian NB.1.8.1 dikesan paling tinggi iaitu membabitkan 39.4 peratus, manakala varian JN.1 menyumbang kepada 18.1 kes yang direkodkan.

Menurutnya, varian XEC pula dikesan menyumbang kepada 13.3 peratus jangkitan Covid-19 dan 21 peratus jangkitan lagi membabitkan varian lain.

Bagaimanapun, Datuk Dr Dzulkefly tidak memaklumkan jumlah pesakit yang dijangkiti varian baru itu atau bilakah jangkitan itu mula dikesan.

“Secara kumulatif, sehingga ME35/2025, sebanyak 43,087 kes dilaporkan berbanding 85,297 kes bagi tempoh sama pada 2024 iaitu penurunan 49.5 peratus.

“Kes mingguan pada ME35 adalah 594, penurunan sebanyak 12.8 peratus berbanding 681 kes pada ME34,” katanya dalam hantaran melalui aplikasi X pada 19 September, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Varian XFG mula dikesan di Asia Tenggara pada Januari lalu dan menjelang Jun, ia dikelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian bawah pengawasan berikutan penularannya yang pantas di seluruh dunia.

Ia dikelaskan oleh WHO sebagai rekombinan atau hibrid daripada dua varian Omicron yang sedia ada iaitu LF.7 dan LP.8.1.2.

Kementerian Kesihatan Indonesia (KKRI) sebelum ini mengesahkan varian XFG menjadi dominan di negara itu susulan peningkatan kes yang berlaku setempat sejak awal Julai.

Pada masa sama, Datuk Dr Dzulkefly berkata KKM mengesan satu kematian baru dilaporkan pada ME 35/2025 membabitkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.

Beliau berkata secara kumulatif, sehingga kini, tiga kematian membabitkan jangkitan Covid-19 direkodkan iaitu pada kumulatif kematian Covid-19 pada ME 24/2025, ME 30/2025 dan ME 35/2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg