Jururawat SingHealth akan menerima tambahan $5.7 juta daripada Yayasan Wee untuk mempertingkatkan pendidikan mereka serta mendapat lebih banyak peluang latihan.
Ini menyusuli sumbangan sebanyak $5 juta oleh badan kebajikan itu kepada jururawat penjagaan kesihatan pada 2022, apabila ia menubuhkan dana akademik kejururawatan khusus untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Pengarah Yayasan Wee, Cik Wee Wei Ling, berkata kepada The Straits Times (ST) pada 29 Julai:
“Jururawat adalah tulang belakang penjagaan kesihatan, (mereka) memberikan dedikasi tanpa mementingkan diri sendiri. Mereka berusaha keras, terutama semasa pandemik Covid-19, bekerja siang dan malam menjaga pesakit.
“Yayasan Wee rasa mereka layak mendapat bantuan kami melalui biasiswa untuk melanjutkan pengajian serta pembiayaan untuk inovasi.”
Yayasan Wee, yang berkaitan dengan mendiang Dr Wee Cho Yaw – seorang ahli perbankan dan dermawan – ditubuhkan pada Februari 2009 dengan dana permulaan sebanyak $30 juta yang disumbangkan oleh keluarga Wee.
Yayasan kebajikan itu memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan bagi golongan kurang bernasib baik, serta mempromosikan bahasa dan budaya Cina, selain menggalakkan penyepaduan sosial.
Pada 2022, Dana Akademik Kejururawatan Yayasan Wee ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak $5 juta untuk meningkatkan kemahiran jururawat melalui pendidikan tinggi dan pengajian pasca siswazah.
Dana ini turut menyediakan geran latihan untuk memperkasa jururawat dalam kemahiran seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), robotik dan kesihatan global, lapor ST.
Sejak itu, dana tersebut telah membantu 970 orang jururawat SingHealth melalui pelbagai peluang pendidikan.
Salah seorang penerimanya ialah Cik Reina Cheong, 26 tahun, seorang jururawat am di Hospital Besar Singapura (SGH).
Cik Cheong, yang sering mengambil masa yang lama untuk mengalirkan cecair dari perut pesakit yang mengalami bengkak di perut, merasakan terdapat cara yang lebih selamat dan cekap untuk melakukan prosedur itu.
“Proses mengalirkan cecair secara manual mengambil masa yang lama dan memerlukan perhatian berterusan daripada jururawat, terutama jika ia melibatkan jumlah cecair yang banyak,” katanya.
Cik Cheong menjelaskan bahawa kadar kederasan pengaliran cecair adalah sangat penting kerana pengaliran yang “terlalu banyak dan terlalu cepat boleh menyebabkan tekanan darah jatuh, dan renjatan hipovolemia dalam kes yang teruk”.
Renjatan hipovolemia ialah keadaan mengancam nyawa yang berlaku apabila badan kehilangan terlalu banyak darah atau cecair.
Beliau mengusulkan idea untuk membangunkan sebuah alat mekanikal yang akan berhenti secara automatik apabila kadar pengaliran mencapai had selamat.
Cik Cheong membentangkan cadangan ini dalam Cabaran Inovasi Kejururawatan SingHealth 2024, dan pasukannya kemudiannya menerima dana permulaan untuk melaksanakan projek perintis tersebut.
Cik Cheong kini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk membangunkan pam tersebut.
Seramai 116 jururawat menerima Anugerah Hari Jururawat Yayasan Wee pada 29 Julai, manakala 32 jururawat lagi dianugerahkan Biasiswa Kejururawatan Yayasan Wee untuk melanjutkan pengajian mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg