Topik diikuti
Pergi ke BHkuYang di-Pertua Negeri Sarawak percaya perjanjian jerebu Asean masih relevan
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, percaya bahawa Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang dimeterai lebih dua dekad lalu itu masih relevan.
Namun, Dr Wan Junaidi, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari 2015 hingga 2018, berkata teknologi dan kaedah baharu diperlukan untuk menangani masalah itu.
“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa berhubung isu jerebu ini. Pada pandangan saya, perjanjian jerebu itu adalah satu perjanjian yang telah dirangka dengan teliti. Perjalanan kita sudah jauh. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah meneliti langkah-langkah untuk membanteras jerebu secara berkesan,” katanya.
Krisis jerebu besar yang terakhir melanda rantau tersebut berlaku pada 2015, apabila kebakaran di Indonesia mengakibatkan asap merentasi sempadan hingga menjejas Malaysia, Singapura, Thailand dan beberapa kawasan lain di Asia Tenggara.
Satu lagi krisis berlaku pada 2019, dengan asap daripada kebakaran di Sumatera dan Kalimantan memberi kesan kepada negara jiran, termasuk Sarawak.
Episod jerebu terus berulang sejak itu dengan kebakaran terbaharu sekali lagi menjejas Malaysia dan Brunei, sekali gus meletakkan semula tumpuan terhadap masalah yang telah cuba ditangani Asean secara bersama selama lebih dua dekad.
Perjanjian AATHP dimeterai di Kuala Lumpur pada 2002 dan mula berkuat kuasa pada 2003.
Perjanjian itu bertujuan menyediakan rangka kerja serantau bagi pemantauan, pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas bersama terhadap isu jerebu rentas sempadan.
“Pada 2015, kami mengambil langkah proaktif. Saya pergi ke Jakarta untuk menawarkan pesawat milik kami bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan.
“Saya memberitahu mereka, ‘Negara kita terjejas teruk akibat jerebu ini’. Dan Indonesia bersetuju menerima bantuan kami,” kata Dr Wan Junaidi.
Dr Wan Junaidi menambah bahawa Malaysia turut mengemukakan pelan untuk membanteras kebakaran hutan.
Pada 2016, kakitangan Indonesia melawat Miri bagi meninjau menara kawalan yang dibina di kawasan berisiko tinggi, sistem pemercik, serta penghalang api yang dibina bagi mencegah kebakaran daripada merebak.
Namun, kawasan pedalaman Borneo berdepan cabaran tersendiri.
“Bukan mudah untuk mengakses kawasan pedalaman yang sedang terbakar,” kata Wan Junaidi.
Sarawak berkongsi sempadan dengan Kalimantan, yang sebahagian besarnya merentasi kawasan berhutan dan pedalaman di mana pemantauan, akses serta operasi memadam kebakaran agak sukar dijalankan.
Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan gelombang jerebu rentas sempadan terbaru, termasuk menjalankan operasi pembenihan awan di ruang udara Indonesia.
Menurut Dr Wan Junaidi, meskipun sistem amaran awal kebakaran wajar diberi pujian, lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk menangani masalah jerebu.
“Kita perlu meneliti teknologi dan kaedah baharu untuk membanteras kebakaran hutan. Selain itu, belum terlambat untuk menteri-menteri alam sekitar Asean berbincang mengenai masalah ini.”
Dr Wan Junaidi berkata, sekiranya Indonesia bersetuju, semua negara Asean boleh menggembleng sumber serta tenaga bagi memadamkan kebakaran di Jambi dan Kalimantan.
“Inilah yang dinamakan kerjasama. Inilah semangat Asean.”
Episod jerebu yang dihadapi Sarawak ketika ini menyusuli kebakaran di Kalimantan.
Ia berlaku sewaktu musim kemarau berpanjangan yang mendedahkan kawasan hutan dan tanah gambut kepada risiko kebakaran, manakala tiupan angin membawa asap berkenaan ke arah Sarawak.
Keadaan jerebu di Sarawak semakin meruncing pada 1 September, apabila lima kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras berbahaya.
Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 415, diikuti Kuching (405), Samarahan (369), Sri Aman (355) dan Sarikei (328). – Agensi berita.
