Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yong Peng hasilkan 500 tan durian setahun, 30% dieksport ke S’pura

Dec 22, 2025 | 1:49 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kawasan Yong Peng, Batu Pahat, dianggarkan menghasilkan kira-kira 500 tan durian setahun, dengan sekitar 30 peratus daripadanya dieksport ke Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat pengumpulan durian penting di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata potensi itu menjadi pemangkin utama kepada usaha meletakkan Yong Peng sebagai destinasi pelancongan yang bukan sekadar persinggahan, sebaliknya lokasi tumpuan pelawat untuk berbelanja dan menikmati pelbagai pengalaman setempat.

Beliau berkata dengan kerjasama Majlis Daerah Yong Peng, pelbagai inisiatif sedang dirancang termasuk penganjuran pesta durian yang menawarkan harga menarik bagi membolehkan pengunjung mencuba pelbagai jenis durian yang dikumpulkan daripada ladang sekitar kawasan berkenaan.

“Kita jangka pengeluaran durian akan terus meningkat berikutan semakin ramai pekebun tempatan beralih daripada tanaman kelapa sawit kepada durian dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi setempat.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 500 ekar ladang durian yang diusahakan oleh hampir 1,000 petani,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Ling yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata kawasan itu berperanan sebagai pusat pengumpulan durian sebelum hasil dihantar ke Singapura.

“Daripada 500 tan yang dihasilkan, sekitar 30 peratus dieksport ke Singapura manakala selebihnya dijual di Yong Peng, dengan majoriti pelanggan juga dari republik itu.

“Dalam satu musim durian yang lazimnya bermula dari Mac hingga September, Yong Peng mampu merekodkan kehadiran lebih 200 bas pelancong dari Singapura pada setiap hujung minggu.

“Bagi musim singkat antara November hingga Januari pula, pengeluaran durian hanya sekitar 20 peratus, menyebabkan kehadiran pelawat dari Singapura turut berkurangan,” katanya.

Beliau berkata program ambang tahun baru akan dianjurkan dari 27 hingga 31 Disember ini dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, persembahan pentas, aktiviti sukan santai dan hiburan melibatkan artis terkenal, sebagai tarikan tambahan kepada pelancong dari dalam dan luar Johor.

Menurutnya, perkembangan sosioekonomi Yong Peng turut menunjukkan trend positif apabila lebih 20 kedai baru dibuka sejak 2024, melibatkan perniagaan tempatan serta cawangan jenama terkenal, sekali gus memperluas pilihan membeli-belah dan tempat makan kepada pengunjung.

Encik Ling berkata beberapa projek naik taraf turut dilaksanakan bagi memperkukuh imej Yong Peng sebagai destinasi pelancongan, termasuk pembinaan mercu tanda baru di pintu masuk dari Jalan Labis yang kini dalam proses tender, selain siapnya pasar barangan tempatan serta projek seni dinding Art Wall Meng Seng.

Beliau berkata peningkatan jumlah bas pelancong yang singgah ke Yong Peng sejak setahun lalu membuktikan potensi kawasan itu, khususnya sebagai destinasi durian. Sehubungan itu, pihaknya kini berusaha menarik lebih ramai pelawat yang menggunakan kenderaan persendirian melalui pakej pelancongan yang lebih mampu milik.

Encik Ling menegaskan segala usaha berkenaan adalah sebahagian persediaan menjelang Tahun Melawat Johor 2026, dengan matlamat meletakkan Yong Peng sebagai destinasi wajib singgah dalam perancangan pelancongan negeri serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg