Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan perubatan baru S’pura tawar bantuan kecemasan dalam, luar negara

Pasukan Perubatan Kecemasan dirasmi Ye Kung, penuhi piawaian dan kriteria WHO
Sep 12, 2024 | 6:55 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (barisan depan, tujuh dari kiri), semasa perasmian Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura (SGEMT) yang diadakan di  Pusat Taktikal Home Team pada 12 September.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (barisan depan, tujuh dari kiri), semasa perasmian Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura (SGEMT) yang diadakan di Pusat Taktikal Home Team pada 12 September. - Foto ST

Penubuhan Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura (SGEMT) akan membolehkan Singapura menawarkan khidmat pasukan perubatan bagi bantuan bencana yang boleh bekerjasama dengan 40 Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) lain yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis perasmian SGEMT yang diadakan di Pusat Taktikal Home Team di Gali Batu Close pada 12 September. 

Dalam keadaan kecemasan, negara di seluruh rantau perlu bertindak pantas dan memberi respons dengan berkesan, terutama memandangkan Asean, khususnya, mengalami kira-kira 15 peratus daripada bencana dunia yang boleh menjejas berbilion nyawa dan mengakibatkan kerugian besar, jelas beliau.

“Kami akan mengukuhkan daya tahan dan kesiapsiagaan serantau kami, dan lebih bersedia dalam dunia yang menyaksikan bencana alam atau buatan manusia boleh berlaku pada bila-bila masa,” jelas Encik Ong. 

Beliau menekankan bahawa Singapura, sebagai “anggota masyarakat serantau dan antarabangsa”, perlu “menyediakan bantuan kemanusiaan di luar kawasan(nya)”. 

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 12 September, SGEMT akan membolehkan Singapura menyediakan sokongan perubatan yang pantas dan berkesan semasa kecemasan, di dalam dan luar negara, bagi meningkatkan peranan Singapura dalam usaha bantuan bencana di peringkat serantau dan global.

Penubuhan SGEMT mengambil masa kira-kira 18 bulan, bermula daripada tahap konsep hingga selesai proses klasifikasi WHO. 

“SGEMT memenuhi piawaian dan kriteria khusus yang ditetapkan WHO mengenai aspek seperti latihan, sumber dan prosedur operasi, serta menunjukkan keupayaannya beroperasi dengan berkesan dalam situasi kecemasan,” jelas MOH.

SGEMT, yang boleh beroperasi secara bebas, dilengkapi sepenuhnya untuk menyediakan ruang klinikal, menjana elektrik dan air bersih sendiri, menguruskan pelupusan perubatan dan sisanya, serta menempatkan sekitar 30 kakitangan perubatan, teknikal dan pentadbiran.

Encik Ong menekankan bahawa ia adalah “keupayaan penting” dalam mencapai matlamat untuk tidak membebankan negara yang sudah terjejas, rakyat dan institusinya.

SGEMT turut boleh menyediakan penjagaan perubatan yang komprehensif, termasuk perkhidmatan kecemasan, penjagaan asas dan rawatan pesakit luar bagi ibu dan anak, untuk lebih 100 pesakit sehari sehingga dua minggu.

Ia boleh dikerahkan ke kawasan terjejas dalam tempoh 72 jam, memberikan bantuan perubatan tepat pada masanya pada peringkat awal bencana yang kritikal, yang mana campur tangan segera boleh memberi kesan ketara kepada kadar kelangsungan hidup dan keberkesanan usaha pemulihan.

Diwujudkan sebagai keupayaan nasional, SGEMT boleh diaktifkan di luar negara atau tempatan.

Apabila diaktifkan di dalam negara, SGEMT boleh menyokong Perintah Perubatan Tapak Bencana MOH.

Mengambil kejadian kecemasan berskala besar seperti keruntuhan Nicoll Highway pada 2004 sebagai contoh, Encik Ong menjelaskan bahawa SGEMT dapat “meningkatkan respons sistem penjagaan kesihatan” dalam kejadian sedemikian ataupun “dalam kejadian mangsa besar-besaran di mana campur tangan perubatan segera dan sokongan perubatan yang berterusan untuk responden pertama diperlukan”.

Encik Ong turut menekankan kepentingan penubuhan SGEMT dengan memberikan contoh apabila Singapura mengaktifkan pasukan bantuan bencananya sebelum ini – Tsunami Lautan Hindi pada 2004; Taufan Nargis yang melanda Myanmar pada 2008; Taufan Haiyan yang melanda Filipina pada 2012; gempa bumi Nepal pada 2015; dan gempa bumi Sulawesi pada 2018.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg