Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibebaskan daripada kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Keputusan yang membersihkan imej Presiden Umno itu menyusul selepas Datuk Ahmad Zahid pada 6 Januari menegaskan Umno-Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal.
Ini di sebalik desakan supaya parti itu meninggalkan kerajaan selepas tercabar dengan penghinaan dalam kes melibatkan titah adendum bekas Perdana Menteri daripada Umno, Encik Najib Tun Razak, baru-baru ini.
“Syukur alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” tulis Datuk Ahmad Zahid di Facebook, sebagai maklum balas terhadap berita gembira buatnya beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula 14 Januari ini.
Pembebasan Datuk Ahmad Zahid itu menyusul selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap kes yang dihadapi Ahli Parlimen (AP) Bagan Datuk (Perak) itu, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.
Dalam kenyataan media pada 8 Januari, AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi itu.
“Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.
“Ini termasuk perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas Datuk Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, Jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua tuduhan tersebut,” kata AGC dalam kenyataan itu.
Menurut AGC, penelitian itu dilakukan dengan turut mempertimbangkan empat perkara, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan tuduhan difailkan.
Jelas AGC, pertimbangan itu turut mengambil kira langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudian dijalankan oleh SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks serta keterangan baru kes.
“Selain itu, dapatan hasil siasatan lanjut terbabit yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengulas kesan persepsi terhadap Kerajaan Perpaduan berikutan pembebasan Datuk Ahmad Zahid daripada tuduhan itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.
“Akan ada pihak yang melihatnya sebagai keputusan bermotifkan politik, lebih-lebih lagi ketika wujud spekulasi mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dan dakwaan Umno mahu keluar daripada kerajaan.
“Namun, hakikatnya keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno sejak awal adalah jelas, iaitu kekal bersama Kerajaan sehingga tamat penggal,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau turut menegaskan keputusan AGC dibuat selepas tempoh masa panjang menyusuli perintah DNAA diberikan kepada pemimpin itu sebelum ini, justeru tidak adil mengaitkannya secara langsung dengan perkembangan politik semasa.
Siasatan terhadap Datuk Ahmad Zahid berkait dakwaan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram itu dimulakan SPRM pada Julai 2018, selepas kekalahan Umno pada pilihan raya umum tahun sama, yang turut menyaksikan kejatuhan Umno selepas lebih 60 tahun menjadi kerajaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg