NIBONG TEBAL (Pulau Pinang): Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah menentang mana-mana program berkonsepkan Islam yang dibentangkan dalam Kabinet, malah parti komponen yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan itu menghormati apa jua yang ingin dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata banyak dakwaan mengatakan Melayu dan Islam di bawah kerajaan Madani kini terancam, sedangkan jika dilihat negeri pimpinan DAP khususnya Pulau Pinang, banyak program memanfaatkan umat Islam dilaksanakan.
Katanya ini terbukti dengan pelaksanaan Program PraTahfiz yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang sama sekali tidak ditentang DAP.
“Kita harus mengetahui DAP yang menjadi rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah menentang sekali pun terhadap program ini apabila saya bentangkan di dalam perbincangan Jemaah Menteri.
“Malah, mereka sangat berhati-hati terhadap Perkara 153 dalam Perlembagaan, iaitu kedudukan agama Islam, hak orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Ahmad Zahid berkata beliau berharap soal Islam terancam tidak dijadikan isu terutama dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang.
Beliau berkata program PraTahfiz yang melibatkan 10,843 Tabika (taman bimbingan kanak-kanak) dan Tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara itu menekankan soal pengajaran Al-Quran termasuk ibadah solat.
“Insya-Allah, menjelang 2026 akan terdapat kira-kira 150,000 pelajar atau anak-anak di Tabika dan Tadika Kemas yang akan mengikuti kelas pratahfiz ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Ahmad Zahid berkata kerajaan yakin ekonomi negara akan bertambah baik susulan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang dicatatkan pada suku pertama 2024 menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, walaupun Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga ke-34 daripada 67 negara dalam kedudukan Daya Saing Global (WCR) 2024, namun ia mampu dicapai menerusi kestabilan politik di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita lihat dari segi FDI, ia telah bertambah pada suku pertama 2024 dan tentunya pelabur melihat kestabilan politik serta kemampuan untuk kelulusan sesuatu permohonan projek, terutamanya untuk mengendalikan kilang di kawasan industri.
“Dan (tentunya) tentang kebolehpercayaan atau keyakinan (pelabur luar) terhadap kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya mengulas berhubung kedudukan Malaysia di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam ranking WCR itu, keempat dalam kalangan negara Asean selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg