Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Erti kejayaan lebih dari sekadar keputusan sekolah

Jul 2, 2024 | 8:55 PM
Dalam usul penangguhan semasa sidang Parlimen pada 2 Julai, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, berkata usaha melakar semula erti kejayaan tidak seharusnya hanya tertumpu di sekolah.
Dalam usul penangguhan semasa sidang Parlimen pada 2 Julai, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, berkata usaha melakar semula erti kejayaan tidak seharusnya hanya tertumpu di sekolah. - Foto fail

Usaha untuk melakar semula erti kejayaan tidak seharusnya hanya tertumpu di sekolah malah ia juga harus dilakar semula dalam kalangan majikan, ibu bapa dan ahli panel biasiswa, kata Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi.

Dalam usul penangguhan semasa sidang Parlimen pada 2 Julai, beliau berkongsi bahawa masyarakat perlu memberi jaminan kepada belia kerana mereka ada kalanya akan tersungkur dalam mengecapi tangga kejayaan.

“Jika anda inginkan inovasi bersandarkan pada golongan belia untuk terus maju… sebagai masyarakat, suntikan keyakinan perlu ada untuk menunjukkan bahawa kadangkala, tak mengapa untuk tersandung, selagi mana terdapat jaringan keselamatan.

“Jika kita dapat memberi jaminan bahawa adanya nilai, adanya pembaikan terhadap beberapa risiko dan adanya peruntukan keselamatan bagi (mereka) menjangkau lebih daripada ukuran tradisional kejayaan, ia akan dapat menyemai belia kita untuk melakar haluan yang berbeza,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai menyahut panggilan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini.

Dalam satu video yang dimuat naik dan disiarkan di YouTube pada 22 Jun, Encik Wong menggesa agar Singapura meluaskan definisi kejayaan melebihi kelayakan akademik.

Video selama enam minit itu menerangkan beliau dan pasukannya mahu bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk membina sebuah masyarakat yang membenarkan “ruang untuk berpatah balik, langkah ke tepi, langkah perlahan, henti seketika, eksperimentasi dan yang tersisih”.

Dr Syed Harun juga menggesa agar jati diri belia turut diperhalusi agar mereka dapat menggilap keupayaan mereka sepenuhnya.

Beliau akur sungguhpun belia di sini mempunyai “daya pemikiran kreatif” dan tahap celik membaca yang tinggi di peringkat global tetapi jati diri yang ada disifatkan beliau sebagai lebih rendah daripada purata Data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Jika kami inginkan belia untuk berkembang maju, bahagian penting terhadap naratif ini adalah mereka juga mesti dapat menilai diri mereka sejajar dengan kebolehan sendiri,” tambahnya.

Di samping itu, beliau turut memberi penekanan terhadap membuka ruang untuk belia mengutarakan pandangan mereka.

Ini penting kerana belia masa kini terdedah kepada trend dan kejadian global dengan pantas, ujar Dr Syed Harun.

“Lebih daripada memberikan belia peluang untuk kongsikan kebimbangan mereka sebagai anggota masyarakat yang mengambil berat tentang masa depan kita bersama… ia memberi ruang bagi mereka untuk kenal antara satu sama lain, menerima kepelbagaian pandangan tidak kira secara tempatan mahupun luar negara, dan meraikan kepelbagaian,” katanya.

Sebagai respons kepada Dr Syed Harun, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, menyambut baik usul yang dibentangkannya.

Malah, beliau menyifatkan usul yang diutarakan sesuai dan tepat pada masa di kala Singapura meraikan belia pada Julai – Hari Belia juga baru sahaja disambut di sini pada 30 Jun.

“Dalam respons saya, saya telah ketengahkan bahawa perkara paling baik yang kita boleh lakukan untuk belia, sebagai satu negara, adalah untuk mempersiapkan mereka (belia) dengan sokongan untuk melakar kemajuan dalam dunia masa kini,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg