Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid gesa audit forensik bagi kesan dalang akibatkan Felda kerugian
Pihak bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan jika wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan audit forensik perlu dibuat bagi mengenal pasti dalang yang mengakibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menanggung kerugian hampir RM10 bilion ($3.14 bilion).
Beliau berkata tanggungjawab melaksanakan perkara itu terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biarpun bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dari Barisan Nasional (BN), sudah pun menjalani hukuman.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata ini bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau salah tadbir urus.
Bagaimanapun, katanya siasatan terbabit tidak boleh dijadikan alat untuk bertindak zalim, menganiaya atau memalukan mana-mana pihak, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Felda berdepan masalah begitu besar dan berlarutan. Kita tak boleh bertolak ansur dengan jumlah kerugian terbabit.
“Tanggungjawab melakukan siasatan diambil Datuk Anwar dan yang penting bukan hanya ‘management auditing’ (audit pengurusan) tetapi ‘forensic auditing’ (audit forensik) juga mesti dilakukan.
“Tentunya pihak bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati ada bukti kukuh, tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman untuk memalukan mana-mana individu seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), pada 23 Ogos, lapor Malaysiakini.
Pada 21 Ogos, Datuk Anwar dilaporkan berkata akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Felda, sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Pasukan terbabit katanya telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat, selain laporannya akan didedahkan kepada umum, sejurus dimuktamadkan kelak.
Sebelum ini, media memaklumkan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan Felda dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi, sebelum didedahkan kepada umum.
Datuk Ahmad Zahid berkata siasatan menyeluruh ke atas Felda perlu dilakukan bagi memastikan peneroka dan generasi Felda mendapat pembelaan sewajarnya.
“Seramai 225,000 peneroka dan tidak kurang 1.8 juta generasi Felda terbabit yang kini sudah memasuki generasi kelima secara langsung atau tidak dalam isu ini.
“Justeru, kerajaan mesti santuni (isu membelenggu Felda) supaya kepentingan mereka terus dipertahankan sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada Februari lalu, Tan Sri Mohd Isa, diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta, berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda pada 2013.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Tan Sri Mohd Isa yang juga bekas Naib Presiden Umno dan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, terhadap sembilan pertuduhan rasuah.
