Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4.3 juta kenderaan S’pura masuk M’sia, RM88j caj jalan dikutip

Oct 22, 2024 | 4:41 PM
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anhony Loke.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anhony Loke. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kutipan caj jalan (RC) berjumlah RM88 juta ($26.81 juta) pada 2024 setakat September, dengan sejumlah 4.3 juta kenderaan Singapura memasuki negara itu melalui dua pintu masuk di sempadan Johor-Singapura.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata secara purata 16,107 kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura, setiap hari.

Beliau berkata setiap hari dianggarkan 89,818 perjalanan dilakukan pelbagai kenderaan yang merentasi sempadan Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), bagi tempoh sama.

“Purata harian jumlah perjalanan kenderaan adalah kereta (31,194), motosikal (53,000) , komersial bas (3,531) dan komersial lori (2,093),” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada 22 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bakri (AP) Encik Tan Hong Pin (Pakatan Harapan) berhubung jumlah kenderaan yang merentas sempadan Johor-Singapura secara purata setiap hari mengikut pecahan jenis kenderaan dan antara jumlah itu, berapa jumlah kenderaan Singapura dan hasil kutipan RC dipungut.

Tambahnya jumlah kutipan RC sepanjang 2023 adalah lebih RM91.3 juta, dengan tahun ini kutipan RC Malaysia dijangka meningkat lebih RM100 juta daripada pertambahan jumlah kenderaan Singapura yang akan memasuki Johor.

“Keseluruhan hasil kerajaan dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan, namun begitu daripada jumlah ini setiap RM20 yang dikutip kerajaan Persekutuan, RM5 dikembalikan kepada kerajaan Johor,” katanya.

Encik Loke berkata pihaknya akan cuba berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya kutipan RC disalurkan semula untuk kegunaan pengangkutan awam.

“Apabila Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) siap kelak, kita perlukan lebih banyak rangkaian bas di Johor Bahru dan sudah tentu memerlukan peruntukan tambahan.

“Salah satu cara adalah berunding supaya apa yang dikutip melalui RC disalurkan kembali kepada pengangkutan awam di Johor Bahru, khususnya,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai Permit Masuk Kenderaan (VEP) atas kenderaan asing yang memasuki Malaysia, Encik Loke berkata daripada 10,094 kenderaan yang diperiksa sejak 1 hingga 20 Oktober lalu, hanya 599 atau kira-kira 6 peratus saja yang belum memohon VEP daripada pihak berkuasa.

“Ini menunjukkan pematuhan yang agak tinggi dan bagi saya apa yang kita laksanakan ini mencapai objektifnya iaitu untuk mewajibkan kenderaan Singapura mendaftar VEP.

“Berkenaan RC, ini adalah timbal balik. Kalau kita caj RM20, pihak Singapura caj $6.50,” katanya sambil menambah pihaknya menggunakan pendekatan penguatkuasaan dengan notis amaran kepada mana-mana kenderaan Singapura yang masih belum memohon VEP bagi fasa pertama bermula 1 Oktober lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg