JOHOR BAHRU: Keputusan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke Malaysia sempena Sidang Puncak Asean ke-47 adalah hasil keputusan sebulat suara 10 pemimpin negara Asean.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu bukan perkara yang diputuskan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun katanya, kehadiran Encik Trump tidak menggugat pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak Gaza, Palestin.
“Malaysia menjadi pengerusi kepada Sidang Puncak Asean, lazimnya kita mempunyai rakan dialog terutama Amerika Syarikat, Jepun, China dan pelbagai negara lain.
“Pada Sidang Puncak Asean ke-46 lalu, kita mengadakan sidang puncak bersama dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pada kali ini sidang puncak itu kita buat sama sebagai rakan Asean termasuk Amerika.
“Ini bukan keputusan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai Pengerusi Asean tetapi keputusan sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara Asean untuk mengadakan sidang puncak dengan rakan dialog kita, dan Trump adalah Presiden Amerika Syarikat.
“Namun ini tidak menghentikan pendirian (tidak setuju) kita jika ada campur tangan dari Amerika terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin.
“Pendirian itu tidak mengubah kedudukan kita. Secara rasionalnya Pengerusi Asean, Malaysia, harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin negara Asean,” katanya semasa satu acara di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru pada 5 Oktober, lapor Harian Metro.
Ketika ditanya adakah isu kehadiran Encik Trump akan dibahas di Parlimen pada 6 Oktober, Datuk Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mungkin ada Ahli Parlimen (AP) yang akan berbahas isu tersebut.
“Mereka boleh buat demikian tetapi kita harus hormati keputusan dibuat sekretariat Asean terutama keputusan yang dibuat 10 pemimpin Asean.
“Pada kali ini Sidang Puncak ke 47 akan terima Timor Leste sebagai negara ke-11 yang akan anggotai Asean,” katanya.
Sidang Puncak Asean ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober, dengan beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Canada, Afrika dan Amerika Latin dijangka hadir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg