KUALA LUMPUR: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), akan ditamatkan sebaik Parlimen dibubarkan.

Demikian menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Zahid berkata ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mana tempoh parti itu bersama dengan Kerajaan Perpaduan termasuk PH akan berakhir apabila Parlimen ke-15 dibubarkan.

“Di saat Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan),” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 27 September.

Datuk Zahid berkata, BN membuat keputusan untuk bersama PH dalam Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal.

“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya lagi.

Datuk Zahid turut menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri.

Jelasnya, komitmen itu merupakan janji BN kepada Agong ketika itu dan telah termeterai menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kerjasama berkenaan adalah di peringkat nasional, manakala pendekatan politik di setiap negeri tidak semestinya sama.

Beliau mengambil contoh di Johor apabila BN memilih untuk bertanding sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun bekerjasama dengan parti lain di peringkat Persekutuan.

“Inilah yang saya sebut sebagai politik dua tingkap. Di peringkat Persekutuan atau nasional ada tanggungjawabnya dan di peringkat negeri pula ada realiti politiknya,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran, dalam ucapannya turut mencadangkan supaya BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan secepat mungkin.

Katanya, pemimpin Umno dan BN sering diuji dan ditekan, manakala pihak mereka (PH) yang membuat kesalahan dan jenayah pula dibiarkan.

“Ia seolah-olah Kerajaan Madani cuba menekan BN dan pemimpinnya supaya menyerah.

“Saya bagi pihak Parti Makkal Sakti Malaysia mencadangkan supaya keluarlah dari Kerajaan Madani,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Zahid menegaskan perkembangan politik di Negeri Sembilan tidak akan mengubah komitmen BN terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.