Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid: Tiada perbincangan PRU16 lebih awal
Zahid: Tiada perbincangan PRU16 lebih awal
Zahid: Tiada perbincangan PRU16 lebih awal
TAMPIN: Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil kira tarikh tamat penggal Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya geopolitik negara berubah.
Datuk Zahid berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis kepada Parlimen Malaysia juga akan mengadakan rundingan sama ada mahu mengadakan PRU lebih awal dari tarikh sebenar.
Bagaimanapun, Datuk Zahid berkata, belum ada perbincangan diadakan bersama Datuk Anwar berkait PRU kerana Kerajaan Perpaduan mempunyai 18 parti dengan sekurang-kurangnya lima gabungan politik.
“Pada hemat saya, jika geopolitik berubah, tentunya tarikh tamat tempoh penggal Parlimen itu akan diambil kira oleh Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen untuk mengadakan rundingan dengan kami.
“Bagaimanapun, ia tertakluk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersetujui sama ada pembubaran itu boleh dilakukan awal atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, pada 26 Julai.
Pada 25 Julai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjangkakan PRU diadakan lebih awal, selain mengesahkan akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.
Datuk Mohamad dilaporkan berkata, ada kemungkinan Parlimen dibubar seawal hujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri berasa keadaan sesuai untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Datuk Zahid menyangkal ada mengeluarkan kenyataan angkuh ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seperti didakwa oleh Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke.
“Tidak ada keangkuhan kalau kita menyarankan agar tukar kerajaan. Parti politik atau gabungan yang mentadbir Negeri Sembilan mahu supaya dikekalkan, yang tidak mentadbir mahu ambil alih.
“Itu tidak angkuh. Jawablah dengan cara yang baik, berhemah dan tidak menyentuh peribadi,” katanya. – Agensi berita.