GEORGETOWN (Pulau Pinang): Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menepis sebarang dakwaan berhubung wujudnya usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tiada gerakan politik seperti ‘Langkah Bangkok’ atau ‘Langkah Dubai’, selain menegaskan BN kekal komited sepenuhnya untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15.

‘Langkah Bangkok’ dan ‘Langkah Dubai’ merujuk kepada desas desus pertemuan pimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN) di luar negara, yang didakwa membincangkan usaha kerjasama antara dua gabungan itu sebelum ini.

“(Ada) Macam-macam telahan, macam-macam bacaan. Ia bergantung kepada saya. Saya tiada niat langsung, tiada Langkah Bangkok ke, tiada Langkah Dubai ke tak ada.

“Apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah. Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya.

“Biarkan orang bercakap asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk stabil politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini.

“Biarlah apa saja orang bercakap,” katanya pada sidang media di Georgetown, Pulau Pinang, pada 23 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Ahmad Zahid turut membacakan balasan pantun buat Datuk Anwar berbunyi:

“Mendaki ke Gunung Tahan, Jatuh ke gaung temui maut, Bumbung tercabut mampu ditahan, Jika ribut di terbang ke laut”

Ketika ditanya mengenai tahap keakraban hubungan beliau bersama Datuk Anwar, Datuk Ahmad Zahid, berkata sama ada masih baik atau tidak secara berseloroh berkata, “Tengoklah... yang tak buat cuma tak ada cium mulut sahaja, lain semua okay,” katanya.

Pada 22 Julai, Datuk Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menitipkan pantun empat kerat yang menekankan nilai setiakawan berbunyi:

“Burung merbah terbang sekawan, Guruh berdentum membelah awan, Berbeza langkah, jangan putus kawan, Selagi muafakat, kita sehaluan”.

Dalam hantaran itu, Datuk Anwar turut berkongsi gambar suasana mesyuarat Jemaah Menteri yang antaranya dihadiri Datuk Ahmad Zahid dan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, yang dilihat mesra serta ceria.

Perkongsian itu hadir ketika tumpuan seluruh negara kini terarah kepada hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang sedang mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai seteru, walaupun bekerjasama di peringkat Persekutuan.