Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar tekad pertahan kestabilan Kerajaan Perpaduan, walau tembung BN di N. Sembilan
Anwar tekad pertahan kestabilan Kerajaan Perpaduan, walau tembung BN di N. Sembilan
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kini berdepan sebagai seteru dalam PRN Negeri Sembilan ke-16
Anwar tekad pertahan kestabilan Kerajaan Perpaduan, walau tembung BN di N. Sembilan
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan terus kekal stabil, walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – dua komponen utama kerajaannya, kini berdepan sebagai seteru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Datuk Anwar menegaskan, kestabilan politik perlu dipertahankan bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia tidak terjejas, sambil menegaskan bahawa ekonomi negara itu tidak boleh dikorbankan akibat persaingan politik di peringkat negeri.
Beliau membuktikan kestabilan itu menerusi kelancaran mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Julai, yang berlangsung seperti biasa dengan kehadiran barisan pemimpin kedua-dua gabungan termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Justeru walaupun mengakui wujud perbezaan politik di peringkat negeri menyusuli kerjasama baharu antara BN dengan Perikatan Nasional (PN), Datuk Anwar menegaskan bahawa ia tidak menjejas kestabilan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Memang betul politik di Malaysia tak semena-mena dikejutkan dengan perubahan baru (BN-PN) kerana Kerajaan Perpaduan stabil, ekonomi melonjak, pelaburan datang, tetapi tak semena-mena ada keretakan di peringkat negeri.
“Di peringkat Pusat belum lagi, mudah-mudahan insya-Allah kekal sampai pilihan raya (umum).
“Tadi (pagi 22 Julai) saya, selain (Menteri PH, Datuk Seri) Mohamad Sabu, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik, DAP), Datuk Zahid dan lain-lain semua mesyuarat Jemaah Menteri seperti biasa. Dalam hati siapalah tahu.
“Tetapi saya mendukung tindakan begitu untuk menjaga supaya kita stabil, ekonomi kita itu jangan tergugat, kerana banyak negara pincang apabila ekonomi tidak stabil.
“Apabila politik tak stabil, pelabur tak datang. Yang sengsara rakyat,” katanya di pentas ceramah PH sempena PRN Negeri Sembilan di Senawang, Seremban, pada malam 22 Julai.
Datuk Anwar pada masa yang sama, berkata tiada isu berkaitan keupayaan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebelum ini yang boleh dijadikan alasan untuk menolak kepimpinannya.
“Saya tanya, di Negeri Sembilan ini apa masalahnya? Saya tidak pernah dengar mana-mana (pemimpin BN) mengatakan Datuk Aminuddin tidak tahu mentadbir, terpalit dengan rasuah atau tidak membantu rakyat.
“Kita juga tidak pernah dengar Datuk Aminuddin tidak membantu orang Melayu. Sepanjang tiga tahun setengah saya menjadi Perdana Menteri, saya juga tidak pernah dengar beliau dikatakan mengikut telunjuk DAP,” ujarnya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN membentuk persefahaman baharu dengan PN menerusi pembahagian kerusi ditandingi, dengan BN hanya bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara 11 lagi diperuntukkan kepada PN.
Dalam persefahaman julung-julung kali BN-PN dalam pilihan raya, kededua gabungan itu bukan saja berkongsi pentas ceramah, malahan jentera kempen, dengan matlamat menumbangkan penguasaan PH di Negeri Sembilan.
Di pentas sama, Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya menolak “politik kahwin-cerai” yang sering diamalkan sesetengah parti politik demi mendapatkan kuasa.
Presiden Parti Amanah Negara itu menghuraikan perjalanan politik sebuah parti yang tidak dinamakannya, yang telah melalui beberapa “perkahwinan” dan “perceraian” dengan rakan gabungan berbeza sejak 1974, termasuk dengan BN, diikuti Pakatan Rakyat, dan terkini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun berdasarkan sejarah itu, ia merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kini mengetuai PN.
“Mereka (BN-PN) berbincang dalam cerah, dalam gelap, akhirnya berlaku apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
“Politik begini jangan kita izinkan terus berkembang di Malaysia. Kita halang semuanya ini dan kita harap 1 Ogos nanti kita pertahankan PH.
“(Amalan begini) tak boleh. Apabila kita rasa boleh dapat kuasa, kita nak pergi kepada orang ini, kemudian orang ini.
“Jadi dari segi perjuangan pertahankan rakyat, keharmonian dan perkembangan ekonomi ini bukan keutamaan mereka. Sebab itu cukuplah sampai di sini. Jangan kita dipermainkan lagi,” katanya.